GTA guna logo Tanah Air, yakin pendaftaran lulus sebelum PRU15 - Tun Mahathir

Hasimi Muhamad
Ogos 18, 2022 13:54 MYT
Tun Dr Mahathir mengadakan sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya pada Khamis. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Empat parti dalam gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) akan menggunakan satu logo yang dikenali sebagai Tanah Air pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar permohonan logo dan pendaftaran gabungan berkenaan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada minggu hadapan.
“Kita belum putuskan lagi (reka bentuk logo). Kita akan buat perancangan reka bentuk baharu dan saya ingat pada minggu depan akan putuskan.
“Apabila ia telah diputuskan, dan kita telah mengisi semua jawatan dalam GTA, kita cadang untuk minta pendaftaran,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Presiden GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana pada Khamis.
GTA, satu gagasan baharu disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu dengan empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, pihaknya yakin pendaftaran gabungan tersebut akan diluluskan sebelum PRU15.
Tegas Dr Mahathir, beliau percaya apa yang berlaku kepada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 tidak akan berulang.
"Pengalaman politik dalam Malaysia ini dekat pilihan raya kalau UMNO berkuasa, ia nanti tak dapat daftar.
"Dalam PRU14, kita tahu Bersatu yang sudah pun didaftarkan digantung pendaftaran dan parti Pakatan Harapan tak didaftarkan, itu strategi mereka.
"Tapi kami yakin bahawa kali ini perbuatan yang salah ini tidak akan dilakukan. Kita ada plan B kalau itu berlaku," ujarnya.
Dalam sidang akhbar sama, Dr Mahathir turut mengumumkan jawatankuasa tambahan bagi GTA.
Antara yang dilantik ialah Datuk Mohamed Ismail (IMAN) sebagai Bendahari dan Datuk Nizam Mahshar sebagai Ketua Penerangan.
Turut dilantik ialah Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dari Pejuang sebagai Sayap Wanita; Nasrul Ali Hassan Abdul Latif dari Putra sebagai Sayap Pemuda serta Azliza Rajain sebagai Sayap Pemudi mewakili Berjasa.
Pada 4 Ogos lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan GTA berteraskan agenda Melayu dan Islam.
Selain Dr Mahahir, jawatankuasa penaja GTA turut dibarisi Timbalan-Timbalan Pengerusi iaitu Presiden Parti Berjasa, Zamani Ibrahim; Ibrahim Ali selaku Presiden Putra; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
#GTA #Tun Mahathir #Gerakan Tanah Air #PRU15
;