GRS gugurkan keanggotaan Bersatu pada 9 Dis lalu, putuskan Hajiji kekal Pengerusi
Abdul Hafiz Mustadi
Disember 18, 2022 10:40 MYT
Disember 18, 2022 10:40 MYT
KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara memutuskan Datuk Seri Hajiji Noor kekal sebagai Pengerusi gabungan itu.
Malah Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Maximus Ongkili menegaskan, gabungan itu memutuskan menggugurkan keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ahli Badan GRS.
“Merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Ronald Kiandee pada 17 Dis 2022, saya selaku Timbalan Pengerusi GRS telah mempengerusikan satu Mesyuarat AMT GRS pada 9 Dis 2022.
“Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk mengekalkan Hajiji sebagai Pengerusi GRS dan menggugurkan keanggotaan Bersatu sebagai Ahli Badan Gabungan dalam GRS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) memaklumkan, mesyuarat AMT GRS turut memutuskan gabungan itu menyertai Kerajaan Perpaduan atas komitmen membina kerajaan yang stabil demi kepentingan kesejahteraan rakyat dan pembangunan tanah air.
Sehubungan itu, katanya, Ronald dan Bersatu tidak ada hubungan dengan Perjanjian Persefahaman Kerajaan Perpaduan yang prinsip dan matlamatnya telah ditolak oleh parti itu.
Semalam, Ronald mendakwa perjanjian persefahaman kerjasama ditandatangani GRS adalah tidak sah, kerana Bersatu sebagai ahli GRS tidak pernah terlibat dalam sebarang perbincangan untuk menyertai perjanjian itu.
Jumaat lepas lima gabungan parti politik utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS dan Parti Warisan (Warisan) menandatangani perjanjian persefahaman di Putrajaya bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun memeterai perjanjian itu bagi pihak GRS manakala Hajiji menandatangani perjanjian itu sebagai saksi bagi pihak GRS.
Ronald mempertikaikan keabsahan memorandum itu atas alasan beliau bukan lagi Pengerusi GRS yang sah setelah dilantik atas kapasiti sebagai Ketua Bersatu sebelum ini.
Pada 10 Dis lalu, Hajiji menerusi satu kenyataan mengumumkan bersepakat keluar Bersatu bersama pimpinan tertinggi parti di peringkat negeri itu atas dasar keadaan landskap politik negara terutama di negeri tersebut.