"Grand Coalition" secara dasar dipersetujui PKR dan DAP - Khalid Samad

Firdaus Azil
Disember 26, 2020 19:16 MYT
Khalid berkata, Pakatan Harapan melalui Majlis Presiden perlu maklum kepentingan perluas kerjasama dengan parti pembangkang lain bagi hadapi PRU ke-15. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penubuhan “Grand Coalition” atau gabungan baharu pembangkang yang diilhamkan Parti Amanah Negara (Amanah) secara dasarnya telah dipersetujui DAP dan PKR, kata Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, kerjasama itu, walaupun diterajui Pakatan Harapan (PH), masih memerlukan sokongan kukuh parti pembangkang lain, biarpun di bawah nama Pakatan Harapan Plus.
Jika kerjasama itu dapat direalisasikan, ujarnya lagi, maka ia akan menjadikan pembangkang lebih kuat bagi berhadapan Perikatan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.
"Kita ingin menegaskan kepada rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan melalui perbincangan dalam Majlis Presiden, golongan 108 Ahli Parlimen itu adalah golongan setia bersama dalam saf pembangkang menentang Perikatan Nasional.
“Maka Pakatan Harapan melalui Majlis Presiden mesti setuju bahawa kita nak perluaskan kerjasama ini, dan saya rasa pihak Parti Keadilan Rakyat dan DAP telah pada dasarnyna bersetuju bahawa kita kena luaskan kerjasama dengan parti pembangkang supaya dapat bersatu hadapi kerajaan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas secara dalam talian sempena Konvensyen Nasional Amanah 2020, yang diadakan di Bukit Katil, Melaka, pada Sabtu.
Terdahulu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam ucapannya memberitahu ahli bahawa Amanah bersedia memainkan peranan sebagai pihak tengah dalam usaha menyatukan kesemua parti pembangkang.
Ahli Parlimen Kota Raja itu yakin Pakatan Harapan dapat mencari titik tengah dalam menyelesaikan perselisihan faham antara kesemua pemimpin politik pembangkang.
#Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #PKR #DAP #Parti Amanah Negara #pilihan raya #pembangkang #presiden #Amanah #kerajaan #politik #Khalid Abdul Samad #grand coalition
;