GPS tidak terlibat dalam rundingan gabungan politik baharu - Abang Jo
Bernama
Februari 6, 2020 04:56 MYT
Februari 6, 2020 04:56 MYT
Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak terlibat dalam sebarang rundingan berkaitan gabungan politik baharu, kata Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Khamis.
Beliau berkata GPS adalah bebas dan hanya akan memerhati perkembangan yang berlaku di Kuala Lumpur.
"Apa sahaja masalah yang mereka hadapi di sebelah sana (semenanjung Malaysia), adalah masalah mereka. Bukan masalah Sarawak," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Agung GPS di sini.
Beliau mengulas khabar angin mengenai sebuah gabungan politik baharu dikenali sebagai Pakatan Nasional yang kononnya membabitkan GPS.
Meskipun GPS hanya melihat kepentingan Sarawak dan penduduknya, Abang Johari berkata pada masa yang sama, beliau mahu Malaysia mempunyai kerajaan yang amat kukuh serta stabil.
-- BERNAMA