GPS tidak akan beri sokongan kepada pakatan yang ada DAP - James Masing
Syafik Shukri Jalil
Februari 28, 2020 00:25 MYT
Februari 28, 2020 00:25 MYT
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menyertai pakatan yang ada Parti Tindakan Demokratik (DAP).”
Itu antara perkara utama yang akan dipertimbangkan oleh pimpinan tertinggi GPS dalam memilih Perdana Menteri baharu.
Perkara itu didedahkan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing ketika dihubungi secara langsung menerusi program Consider This di Astro AWANI pada Jumaat malam.
Antara lain ujarnya, tindakan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun lalu nyata mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin di sana.
“Kenyataan tersebut dilihat sangat tidak bertanggungjawab dan ini menunjukkan keangkuhan mereka,” katanya.
Menerusi siaran langsung itu juga, James turut menyatakan apa yang paling penting dalam pertimbangan yang akan dilakukan adalah mengutamakan kehendak rakyat dan kebaikan kepada negara.
Selain itu James menambah, GPS mahu Perjanjian Malaysia (MA63) dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta membolehkan negeri itu mendapat perkongsian hasil dalam minyak dan gas yang besar.
“Kami akan mengumumkan pilihan kami sejurus selesai mesyuarat tertutup itu nanti,” ujarnya mengakhiri perbualan.
GPS dijangka mengadakan satu mesyuarat tertutup pada Ahad di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Sementara itu, dalam temu bual sama, Setiausaha DAPSY Sarawak, Dr Kelvin Yii memberi resp[ons atas kenyataan itu dengan menyatakan GPS tidak seharusnya membiarkan perasaan tidak puas hati mempengaruhi mereka dalam membuat keputusan demi kebaikan negara.
"Kenyataan Dr James Masing mempunyai paradoks. Jika benar mereka (GPS) ingin buat keputusan demi kebaikan negara, tidak seharusnya perkara seperti ini mengaburi keputusan mereka," kata beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching.
#bankrap
#DAP
#DAPSY
#Gabungan Parti Sarawak
#GPS
#James Jemut Masing
#Lim Guan Eng
#MA63
#Malaysia
#Malaysia 2020
#Parti Rakyat Sarawak
#Perdana Menteri
#Perjanjian Malaysia
#Perlembagaan Persekutuan
#politik
#PRS
#Sarawak