GPS terus kukuh, tidak gentar kepada pembangkang - Masing
Astro Awani
Februari 18, 2021 16:03 MYT
Februari 18, 2021 16:03 MYT
KUCHING: Parti pembangkang di Sarawak tidak akan mampu menjatuhkan parti pemerintah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Pilihanraya Negeri ke-12 (PRN-12) akan datang.
Demikian keyakinan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing yang menyifatkan rakyat negeri itu bijak menilai janji yang ditaburkan parti pembangkang di sana.
“GPS adalah sebuah gabungan yang kuat, teguh dan mempunyai objektif yang difahami oleh rakyat negeri ini.
“Bukan seperti parti pembangkang yang hanya pandai bercakap dengan menabur pelbagai janji untuk direalisasikan dan perkara ini sama sahaja dengan janji yang pernah ditaburkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
“Rakyat Sarawak sudah terbiasa dan bijak menilai terhadap janji yang ditaburkan pembangkang,” kata Masing.
Tambah Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri, di bawah pentadbiran GPS, banyak projek pembangunan dan akses jalan raya telah dilaksanakan untuk warga negeri itu.
Ia merupakan bukti jelas komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan janji demi kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan negeri ketika ini sudah banyak membina akses untuk menuju ke bahagian pedalaman.
“Untuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) akan datang, kita akan lebih memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur terlebih dahulu sebelum membangunkan kawasan pedalaman,” tambahnya.
#Parti Rakyat Sarawak
#Gabungan Parti Sarawak
#politik di Sarawak
#Pilihanraya Negeri Sarawak
#PRN-12
#James Jemut Masing