GPS tak mungkin capai kekuatan sekarang tanpa perpaduan ahli

Bernama
Oktober 27, 2023 04:30 MYT
Fadillah berkata, GPS tidak mungkin dapat mencapai kekuatan politik yang dikecapinya sekarang, jika ahlinya gagal memupuk perpaduan dalam kalangan mereka. - Foto BERNAMA
BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membuktikan kedudukannya sebagai parti gabungan penentu kerajaan, sejak dua penggal lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata GPS, tidak mungkin dapat mencapai kekuatan politik yang dikecapinya sekarang, jika ahlinya gagal memupuk perpaduan dalam kalangan mereka.
"Disebabkan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak, parti kita kuat...Perpaduan ahli parti disokong oleh rakyat. sebab mereka melihat parti kita ada wawasan, ada inisiatif, ada perancangan mentadbir dan mengangkat negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Makan Malam Persatuan Melanau Bintulu di sini pada Jumaat malam, yang turut dihadiri calon GPS untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee.
Fadillah berkata keputusan pucuk pimpinan empat parti Sarawak terdiri dari PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), untuk keluar daripada Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan menubuhkan GPS, bertujuan untuk memastikan Sarawak maju dengan acuan sendiri.
Fadillah berkata keputusan itu ternyata tepat, apabila GPS pimpinan Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya mentadbir Sarawak, sehingga dapat meningkatkan pendapatannya dan mempelopori bidang baru ekonomi, yang menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, beliau meminta ahli-ahli GPS tidak leka dengan kekuatan yang dimiliki gabungan parti itu sekarang, apatah lagi dalam menghadapi PRK Jepak ini.
Biarpun dijangka tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengekalkan kerusi itu, beliau berharap ahli-ahli GPS di sini tidak leka tetapi terus mengekalkan momentum, untuk memastikan sebanyak mungkin pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian 4 Nov ini.
PRK ini melibatkan pertandingan tiga penjuru di mana Iskandar ditentang calon dari Parti Bumi Kenyalang Stevenson Joseph Sumbang dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
Kerusi DUN Jepak kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip, pada 15 Sept lepas.
-- BERNAMA
#GPS #politik #Fadillah Yusof #PRK Jepak
;