GPS pertaruh Johny Pang rampas kembali DUN Tanjong Batu
Rudi Affendi Khalik
November 23, 2021 05:49 MYT
November 23, 2021 05:49 MYT
BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah hampir pasti menamakan Johny Pang Leong Ming sebagai calon di N.68 Tanjong Batu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 tidak lama lagi.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu itu berasal dari Sibu, namun bermastautin di Bintulu dengan kerjaya hakiki sebagai usahawan dan perunding pelancongan.
Beliau menaiki hierarki parti di Cawangan Bintulu pada Ogos 2014, mengggantikan Henry Ling; seorang peguam dan bekas calon SUPP di kerusi DUN Kidurong.
Cabaran Johny dalam pilihan raya kali ini bukan sedikit, kerana bakal berhadapan veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chiew Chiu Sing.
Chiu Sing yang dijangka terus mempertahankan kerusi ini, memenangi DUN Kidurong untuk pertama kalinya pada 2001, apabila mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) ketika itu, Michael Sim Kiam Hui dengan majoriti kecil 113 undi.
Dua penggal berikutnya, beliau terus mempertahankan kerusi tersebut, termasuk pada 2011 apabila menewaskan Henry dengan majoriti 6,930 undi.
Persempadanan semula pilihan raya negeri pada 2016 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di DUN N.68 Tanjong Batu.
Chiu Sing sekali lagi unggul dengan memperoleh 7,984 undi, menewaskan calon BN, Pau Chiong Ung yang membawa pulang 5,436 undi dan calon STAR, Chieng Lea Phiing yang mengutip 89 undi.
Johny yang terkenal sebagai seorang yang ramah dan kuat bekerja perlu lebih gigih kali ini.
Beliau berhadapan dengan seorang yang berpengalaman, cukup licik berpolitik, biarpun tidak banyak cakap.
Dengan pengesahan pencalonan beliau oleh Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian ketika melawat bilik operasi SUPP semalam, Johny sebenarnya tidak mempunyai banyak masa.
DUN Tanjong Datu mempunyai 22,809 pemilih termasuk 352 pengundi pos. Daripada jumlah ini 11,463 lelaki dan 11,346 perempuan; dengan komposisi umur terbesar ialah 30 ke 39 tahun (5,488 pemilih) dan 50 ke 59 tahun (5,114 pemilih).