GPS berfungsi sebagai kerajaan interim jika tempoh darurat dilanjutkan - Penganalisis
Syafik Shukri Jalil
Januari 12, 2021 13:41 MYT
Januari 12, 2021 13:41 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih boleh berfungsi sebagai kerajaan interim bagi memerintah negeri itu sekiranya tempoh darurat terpaksa dilanjutkan.
Menurut Penganalisis Politik, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, ini kerana GPS merupakan pemerintah terkini atau government of the day.
“Sekiranya PRN Sarawak terpaksa ditangguhkan lagi dan tempoh darurat terpaksa dipanjangkan, saya kira kedudukan GPS masih lagi dalam keadaan yang stabil.
“Ini kerana kerajaan GPS masih lagi kerajaan pemerintah terkini ataupun government of the day jadi lazimnya kerajaan yang menyandang ini akan diberikan kuasa untuk menjadi kerajaan interim ataupun sementara,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Tambahnya, penangguhan PRN 12 juga tidak akan menyaksikan sebarang perubahan drastik daripada aspek kawalan kerajaan negeri kerana pada dasarnya GPS masih lagi memegang kuasa sebagai kerajaan interim.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung
Terdahulu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan.
Tindakan itu adalah bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 seperti mana yang terjadi selepas PRN Sabah pada tahun lalu.
Justeru, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.
#PRN Sarawak tangguh
#kerajaan negeri Sarawak
#kerajaan negeri interim
#darurat COVID-19
#Pilihan Raya Negeri Sarawak
#Gabungan Parti Sarawak