'Golongan muda UMNO jadi liar bila senior parti gila projek' - Atory
Wan Syamsul Amly
Julai 1, 2015 14:50 MYT
Julai 1, 2015 14:50 MYT
Golongan muda dalam UMNO berisiko untuk menjadi liar dan tidak mengikut nasihat sekiranya tidak dikawal senior dan veteran di dalam parti.
Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, tugas memberi petunjuk itu juga dilihat perlu dipikul orang-orang lama selain sentiasa menunjukkan teladan baik kepada golongan berkenaan.
"Seharusnya pihak veteran atau mereka yang berada di peringkat atasan atau pertengahan membimbing anak-anak muda di dalam parti.
"Jangan dibiarkan mereka tidak ada petunjuk, jika tidak mereka akan menjadi liar dan hilang pedoman.
"Seperti anak-anak juga, jika tiada pemantauan, mereka tidak mempunyai contoh rujukan serta bertindak mengikut kemahuan hati," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dr Ahmad Atory mengulas laporan seorang pengarang sebuah akhbar yang menyifatkan kewujudan orang baharu dalam satu-satu bahagian parti bukan dianggap satu rahmat sebaliknya boleh menggugat kedudukan orang lama.
Kata pengarang itu, sindrom takut kepada bayang-bayang ini turut merebak di peringkat negeri sekali gus dilihat antara faktor perpecahan di dalam parti sendiri.
Bagaimanapun jelas Dr Ahmad Atory, kegagalan pemimpin veteran selama ini diharap memberi contoh terbaik kepada anak-anak muda di dalam parti turut menyumbang kepada penangguhan selama 18 bulan pemilihan UMNO yang dijadual pada tahun hadapan.
"Saya rasa pemimpin veteran UMNO ini gagal beri tunjuk ajar, gagal beri teladan baik, masih amalkan politik cantas mencantas dan adu domba.
"Bagaimana mereka hendak memberi tunjuk ajar kepada orang muda di dalam parti? Jangan asyik suka berprojek sehingga lupa kepada tanggungjawab kepimpinan dan tunjuk ajar untuk golongan muda mewarisi parti," ujarnya.
Katanya lagi, orang muda di dalam parti turut berkemungkinan mencari alternatif lain jika merasakan UMNO tidak boleh lagi membela nasib mereka.
Sebelum ini Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan.
Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, keputusan itu dibuat bagi memastikan kemantapan parti pada PRU ke-14 nanti.
Tambahnya, amalan itu juga dilakukan sama seperti yang dilakukan pada zaman bekas presiden parti sebelum ini.