Golongan muda pewaris ekonomi pelancongan Kuala Kangsar - Mas Ermieyati

Harits Asyraf Hasnan
Jun 17, 2016 17:10 MYT
MAS ERMIEYATI: Kuala Kangsar terkenal dengan produk pelancongan dan itu adalah salah satu elemen penting yang boleh kita bangunkan. -Gambar fail
Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan agenda pembangunan ekonomi penduduk terutama di Kuala Kangsar yang popular dengan produk pelancongan.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan akan memberi latihan kepada golongan muda bagi membantu mereka menjana ekonomi menerusi pelancongan.
“Kuala Kangsar ini terkenal dengan produk pelancongan dan itu adalah salah satu elemen penting yang boleh kita bangunkan dan kita latih anak-anak muda ini supaya warisan ekonomi pelancongan itu tidak terbiar begitu sahaja. Sebaliknya kita mahu ia disambut dan diteruskan oleh anak muda ini,” kata Mas Ermieyati.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berkata sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Puteri UMNO telah mendekati golongan muda dalam memahami hasrat dan isu hati mereka.
Ujarnya, antara isu yang dibangkitkan golongan wanita muda di Parlimen itu adalah berkaitan dengan kebajikan serta peluang pekerjaan.
Justeru, katanya, calon BN Datin Mastura Mohd Yazid memahami agenda pembangunan yang perlu dibawa di kawasan itu selaras hasrat suaminya, Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anwar Wan Ahmad.
#Barisan Nasional #BN #Mas Ermieyati Samsudin #PRK Kuala Kangsar #produk pelancongan
;