Golongan muda perlu faham berkenaan politik sebagai penentu hala tuju negara

Bernama
Julai 20, 2023 05:17 MYT
Teo ketika Program Chit Chat Teo anjuran Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan di Shah Alam, 20 Julai 2023. -- fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Golongan belia terutamanya pengundi muda harus diberi pemahaman mengenai kepentingan politik kerana mereka turut memainkan peranan sebagai ejen perubahan bagi setiap dasar negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Beliau berkata mungkin sesetengah mereka tidak berminat terhadap politik kerana kecewa dengan prestasi beberapa ahli politik dan menganggap bahawa politik adalah kotor, namun jelasnya politik adalah platform yang sangat penting untuk rakyat membawa perubahan kepada negara.
"Adalah penting untuk kita terus melibatkan orang muda dalam kerja-kerja politik kerana mereka bukan sahaja perlu memahami bagaimana sesebuah kerajaan membuat keputusan, tetapi pada masa sama mengetahui bahawa setiap polisi mempunyai kesan yang panjang terhadap kehidupan kita," katanya pada program Chit Chat Tea Bersama YB Teo di sini semalam.
"Mereka perlu faham bahawa politik akan melahirkan ahli politik, dan ahli politik akan menentukan polisi yang akan dibentuk sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, dan saya amat menggalakkan orang muda untuk melibatkan diri dalam politik dalam apa jua bentuk," katanya.
Menurutnya bagi melibatkan diri dalam politik, tidak semestinya seseorang itu perlu menjadi ahli politik atau calon dalam pilihan raya, namun mereka harus tahu perkembangan politik tanah air untuk memastikan negara dapat bergerak ke arah yang lebih baik pada masa depan.
Program anjuran Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) itu antara lain membincangkan tentang peranan golongan muda dalam pembentukan dasar-dasar negara, serta memupuk perpaduan yang inklusif dalam masyarakat.
Teo berkata sesi dialog yang diadakan seperti ini dilihat dapat merapatkan hubungan antara pemimpin negara dan golongan belia terutamanya mahasiswa selain berpeluang untuk mendengar pandangan anak muda mengenai isu semasa dan harapan mereka.
-- BERNAMA
#Teo Nie Ching #pengundi muda #ahli politik #Belia
;