Golongan muda dalam UMNO diberi pendedahan selok-belok pentadbiran - Shafie Apdal
Bernama
November 19, 2014 08:38 MYT
November 19, 2014 08:38 MYT
UMNO sedang menyediakan golongan muda dalam parti itu untuk menyertai barisan kepimpinan pelbagai peringkat selain mendedahkan mereka tentang selok-belok pentadbiran masyarakat, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Usaha itu, katanya selaras dengan langkah program transformasi dan peremajaan UMNO, yang diinisiatifkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Bukan sahaja di peringkat atasan malah di peringkat cawangan serta bahagian juga sedang berlaku proses meremajakan parti bagi menjamin sebanyak mungkin penyertaan golongan muda dalam pimpinan UMNO," katanya kepada pemberita dalam temuramah sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini.
Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar bandar dan Wilayah, berkata pimpinan parti akan memberi ruang kepada golongan muda untuk mempelajari bagaimana mentadbir masyarakat supaya mereka boleh menyelami pelbagai cabaran kerana teori kepimpinan semata-mata tidak mencukupi dalam soal mentadbir masyarakat.
"Kita sedar trend meremajakan kepimpinan bukan hanya berlaku dalam negara, malah trend kepimpinan dunia juga sudah mula memberi ruang kepada individu di usia muda memimpin sesebuah negara," katanya.
Mohd Shafie berkata UMNO menyedari hakikat bahawa bilangan pengundi muda akan bertambah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan sehubungan itu, ia sedang mengenal pasti dan menambah bilangan pengundi muda dalam parti melalui pendaftaran anggota dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.
Katanya, dua sayap UMNO iaitu Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah ditugaskan untuk menggiatkan usaha menambah anggota muda dan UMNO telahpun menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap anggota Pemuda dan Puteri hendaklah mendaftarkan seorang anggota baru setiap bulan.
"Kalau ini berlaku, kami akan mempunyai kira-kira dua juta ahli dan juga penggundi baharu menjelang PRU14, kira-kira tiga tahun lagi," katanya.
Naib Presiden UMNO itu berkata pendekatan yang digunakan untuk menarik golongan muda mendekati UMNO termasuk melibatkan mereka secara langsung dalam aktiviti parti selain melibatkan mereka dalam program seperti Felo Perdana, yang memberi peluang kepada mereka bekerja terus di bawah bimbingan menteri.
Mohd Shafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keahlian UMNO berkata parti itu kini mempunyai lebih 400,000 anggota tidak layak mengundi daripada keseluruhan 3.5 juta anggota berdaftarnya.
Jumlah itu meliputi golongan muda yang masih belum layak mengundi serta anggota yang telah meninggal dunia atau tidak dapat dikesan kerana berpindah ke kawasan lain, katanya.
"Sebelum PRU13, kita dapati seramai 600,000 ahli UMNO tidak layak mengundi atas pelbagai sebab termasuk sudah meninggal dunia serta tidak dapat dikesan kerana berpindah, maka proses pemutihan turut dijalankan ke atas lebih 200,000 ahli," katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata dalam usaha menjadikan UMNO sebuah parti yang inklusif, sifat keterbukaan harus ada dalam UMNO untuk mendengar suara peringkat akar umbi peringkat cawangan dan bahagian hingga ke peringkat Majlis Tertinggi.
"Kalau kita sekat suara mereka maka mereka akan bersuara di luar, dan ini akan memudaratkan parti. Lebih baik kita buka ruang kepada semua pihak untuk menyuarakan pendapat dan pandangan mereka dan kita cuba selesaikan apa yang mereka utarakan.
"Gunakan landasan yang lebih konstruktif, di samping kita suarakan masalah, penyelesaiannya juga akan diberi, jangan hanya bangkitkan permasalahan, tapi selesaikan juga permasalahan itu," katanya.
Mohd Shafie berkata Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan membahaskan isu secara inklusif yang disuarakan oleh peringkat akar umbi termasuk kos sara hidup, pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam, pindaan perlembagaan parti dan Akta Hasutan 1948.
Katanya perhimpunan juga akan memberi fokus untuk mengenal pasti bakal calon boleh menang atau 'winnable candidates' untuk PRU akan datang dan mengalakkan mereka memainkan peranan di peringkat akar umbi bagi menentukan mereka layak atau tidak menjadi calon.
Mohd Shafie berkata beliau berkeyakinan UMNO masih kukuh di peringkat akar umbi, walaupun ada beberapa isu yang perlu ditangani supaya UMNO terus dilihat sebagai sebuah parti yang mendapat sokongan masyarkat.
Bagaimanapun, katanya UMNO tidak boleh terlalu selesa atau lalai jika tidak melakukan sesuatu untuk meningkatkan kekuatan parti menjelang PRU akan datang dan hanya bergantung kepada kelemahan pihak lawan untuk menang.
"UMNO sebagai parti yang mewakili bangsa Melayu dan agama Islam perlu memastikan bangsa-bangsa lain menerimanya dengan menunjukkan secara jelas hala tuju dan dasar parti yang sudah lebih 50 tahun memerintah," katanya.
Mohd Shafie menafikan dakwaan bahawa UMNO sebuah parti yang bersifat apologetik ketika berhadapan dengan isu-isu kritikal dalam negara dan terlalu berhemah dalam menyampaikan pandangan.
"Ada ketika kita perlu tegas dan ada ketika kita perlu berhemah tapi bila kita menyuarakan pandangan secara berhemah, mereka anggap kita sebagai bersifat apologetik tapi kita bukan apologetik sangat," katanya.
Perhimpunan Agung UMNO 2014 akan berlangsung dari 25 hingga 29 Nov ini.