Golongan agamawan perlu juarai isu rakyat - Hanipa Maidin
Irwan Muhammad Zain
November 28, 2014 15:05 MYT
November 28, 2014 15:05 MYT
Golongan agamawan perlu menjurai isu-isu rakyat kerana ia merupakan sebahagian tuntutan Islam, kata Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin.
Hanipa berkata orang Melayu akan lebih memahami isu-isu melibatkan kepentingan rakyat jika golongan agamawan lebih ke depan.
“Kalau kita ambik contoh isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu ini melibatkan kepentingan rakyat dan jika golongan agamawan ke depan dalam menentang penyelewangan dalam kes ini, orang Melayu akan lebih mudah faham.
“Isu seperti melibatkan penyelewengan ini merupakan tanggungjawab semua umat kerana ia melibatkan amanah dan dituntut oleh Islam.
“Kita tak mahu bangsa lain tengok golongan agamawan Islam hanya berjuang isu arak dan judi semata-mata tetapi diam dalam isu melibatkan kepentingan awam,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Malam tadi dalam satu forum mengenai 1MDB, Hanipa membangkitkan isu kepentingan untuk golongan agamawan tanpa mengira organisasi untuk turut sama terlibat dan member kefahaman kepada rakyat.
Hanipa merupakan antara pemimpin PAS yang dikatakan sering tidak sehaluan dengan kumpulan pro ulama dalam parti itu.