Gol Giroud beri harapan buat The Blues
Astro Arena
Mei 7, 2018 08:12 MYT
Mei 7, 2018 08:12 MYT
CHELSEA 1 LIVERPOOL 0
Hasrat Chelsea untuk mencerahkan peluang bagi melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan kembali bernyala apabila menewaskan Liverpool 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, sebentar tadi.
Chelsea melayan kunjungan The Kop dengan misi meraih tiga mata bagi mendekatkan jarak kepada dua mata dari kelompok empat teratas, susulan pasukan tangga keempat, Tottenham Hotspur, tewas mengejut 1-0 di tangan West Bromwich Albion, kelmarin.
Situasi itu membuatkan pengendali The Blues, Antonio Conte, mempertaruhkan Olivier Giroud selaku penyerang tunggal setelah Alvaro Morata terpaksa direhatkan akibat kecederaan.
Percaturan itu membuahkan hasil pada minit ke-32 selepas Giroud melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran lintang kaki kiri daripada Victor Moses dari sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol, Loris Karius.
Gol itu nyata menyemarakkan semangat anak-anak buah Conte apabila Cesc Fabregas melepasi kawalan Andrew Robertson untuk melepaskan sepakan dari sebelah kanan, namun usaha bekas tonggak Barcelona itu sekadar menyaksikan bola melintas di depan gol.
Bersambung babak kedua, The Blues hampir menambah gol kedua selepas Antonio Rudiger menanduk bola masuk, susulan usaha daripada Giroud hasil daripada sepakan sudut Fabregas tetapi pertahanan skuad kebangsaan Jerman itu terlebih dahulu dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid.
Biarpun Liverpool dilihat lebih menguasai perlawanan, ternyata benteng tuan rumah kebal daripada dibolosi dan sebaliknya berlaku apabila Marcos Alonso berpeluang melepaskan sepakan voli setelah menerima hantaran Moses tetapi percubaan bek kiri itu sedikit tersasar ke bahagian kiri gawang lawan.
Harapan untuk Liverpool menyamakan kedudukan hadir ketika aksi berbaki dua minit untuk ditamatkan, namun tandukan penyerang gantian, Dominic Solanke, sekadar melewati palang gol selepas menerima hantaran jauh Dejan Lovren.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekaligus membolehkan Chelsea mengutip 69 mata untuk terus memberikan cabaran merebut slot ke Liga Juara-Juara di tempat kelima, sementara Liverpool dan Spurs masing-masing di tempat ketiga dan keempat berbekalkan 72 dan 71 mata.