GHB tidak tolak PRU14 mungkin lebih awal

Astro Awani
Julai 25, 2015 12:25 MYT
SALAHUDDIN: Adalah sangat penting bagi semua pihak bersedia untuk duduk semeja pada saat yang cukup kritikal ini. - Foto Astro AWANI
Gabungan Harapan Baru (GHB) tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan lebih awal berdasarkan senario politik terkini tanahair.
Timbalan Pengerusi GHB, Salahuddin Ayub berkata pada saat yang cukup kritikal ini, amat penting untuk semua pihak bersedia untuk duduk semeja.
Menurut beliau, situasi politik, ekonomi dan sosial sangat kritikal dan memerlukan komitmen semua pihak untuk menyelamatkan rakyat yang terkesan kehidupan harian mereka.
"Berdasarkan senario terkini politik tanah air, Harapan Baru tidak menolak kemungkinan akan berlakunya ketidakpastian politik, sekaligus membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-14 lebih awal.
"Adalah sangat penting bagi semua pihak bersedia untuk duduk semeja pada saat yang cukup kritikal ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Mohamad Sabu umum penubuhan parti Gerakan Harapan Baru
BACA: Ahli PAS mempromosi pembentukan parti lain akan digugur keahlian - Tuan Ibrahim
VIDEO: Jangan gaduh secara terbuka - Azmin Ali
Katanya, GHB akan terus menemui NGO, parti-parti politik dan individu berpengaruh serta institusi penting dalam masyarakat bagi mengukuhkan iltizam memperjuangkan isu-isu rakyat.
Ujar beliau, GHB sentiasa bersedia memberikan apa saja sumbangan yang terbaik untuk memastikan hastar dan cita-cita perjuangan rakyat dapat dilaksanakan.
GHB ditubuhkan oleh pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu awal Jun lepas.
Ia dalam proses didaftarkan sebagai sebuah parti politik dan dijangka akan diumumkan secara rasmi September ini.
#Gabungan Harapan Baru #GHB #pilihan raya umum #PRU #PRU-14 #Salahuddin Ayub