GHB sedia kerjasama dengan PAS jika ada keperluan - Salahuddin
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 17, 2015 08:33 MYT
Ogos 17, 2015 08:33 MYT
Parti Gerakan Harapan Baru (GHB) sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik termasuk PAS jika wujudnya keperluan di dalam Pakatan Rakyat 2.0 yang dicanang bakal diwujudkan dalam masa terdekat.
Timbalan Pengerusi GHB, Salahuddin Ayub berkata kerjasama GHB bukan sahaja melibatkan parti politik, malah melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun individu yang bermatlamat untuk 'menyelamatkan' Malaysia dan masa depan rakyat dan negara.
"Sudah pasti, sebagai sebuah parti politik, kita amat terbuka untuk bekerjsama dengan semua pihak (termasuk) NGO, individu yang bermatlamatkan untuk menyelamatkan negara dan masa depan rakyat negara kita," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GHB dan Pelancaran GHB Negeri Selangor di sini pada Ahad.
Kata Salahuddin, tugas kepimpinan GHB pada masa kini adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa GHB mampu mengisi kekosongan di dalam Pakatan Rakyat (PR).
"Tugas kami hari ini adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mampu untuk mengisi ruang itu. Apabila wujudnya Pakatan Rakyat 2.0 nanti, terpulang kepada kepimpinan dalam PR yang akan kita bincang bersama.
"Itu adalah disiplin kita, etika kita. Sekiranya nanti ada kerjasama ataupun memerlukan parti-parti yang lain, itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PR," katanya.
Mengulas berkenaan perkembangan GHB, Salahuddin berkata sokongan pelbagai kaum kepada parti itu menunjukkan keyakinan mereka kepada kepimpinan GHB untuk mengukuhkan dan membina kembali Pakatan Rakyat terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
Dianggarkan kira-kira lebih 2,000 penduduk sekitar Shah Alam hadir pada majlis yang turut dihadiri oleh Penasihat Umum GHB, Ahmad Awang; Pengerusi GHB, Mohamad Sabu serta beberapa kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor seperti Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
GHB ditubuhkan oleh pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu awal Jun lepas.
Ia dalam proses didaftarkan sebagai sebuah parti politik dan dijangka akan diumumkan secara rasmi September ini.