Gesa Zahid Hamidi letak jawatan perbuatan tidak beradab petualang dalam parti - Ketua UMNO Jasin
Firdaus Azil
Januari 27, 2021 13:37 MYT
Januari 27, 2021 13:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bukan alasan untuk sesetengah akar umbi parti hilang adab serta menggadaikan institusi kepresidenan, tegas Datuk Hasan Abd Rahman.
Ketua UMNO Bahagian Jasin itu berkata, beliau kecewa ada akar umbi yang termakan dengan hasutan untuk memecah-belahkan parti dengan menyeru Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.
Tegasnya lagi, perbuatan itu adalah bertentangan dengan budaya orang Melayu kerana tidak beradab dan wajar digelar sebagai petualang dalam parti.
“Polemik politik murahan sebegini hanya akan melenyapkan sistem dan parti kita sendiri. Tanamkan keyakinan dan sokongan kepada institusi Presiden, Timbalan dan barisan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO Malaysia.
“Ikutlah budaya kita orang Melayu. Perbezaan pendapat itu perkara biasa, setiap kesilapan tidak semestinya kesalahan tetapi janganlah mengkhianati perjuangan nan suci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasan berkata, akar umbi parti diseru menyantuni rakyat dengan mengembalikan keyakinan terhadap UMNO.
Tambahnya lagi, fokus juga harus diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan rakyat akibat terkesan dengan wabak pandemik COVID19.
“Perbezaan pendapat itu perkara biasa, setiap kesilapan tidak semestinya kesalahan tetapi janganlah mengkhianati perjuangan nan suci.
“Kita semua perlu ada kekuatan diri dalam menghadapai pelbagai cabaran, ini kerana setiap kelemahan akan mempengaruhi psikologi. Justeru itu, UMNO Bahagian Jasin konsisten untuk memperjuang dan menjuarai isu rakyat dulu kini dan selamanya,” katanya lagi.
Justeru beliau berkata, semua ahli perlu menggunakan sokongan dan mandat UMNO dalam Belanjawan 2021, untuk semua pihak menerima manfaat.
#Hasan Abd Rahman
#UMNO Jasin
#Zahid Hamidi
#presiden undur
#presiden letak jawatan
#petualang
#UMNO
#Belanjawan 2021
#pilihan raya umum
#ekonomi
#kerajaan
#pandemik
#politik
#letak jawatan