Geramm kesal sikap Lim Kit Siang terhadap wartawan TV3
Astro Awani
Februari 8, 2017 11:38 MYT
Februari 8, 2017 11:38 MYT
Gerakan Media Merdeka (Geramm) membidas sikap Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang terhadap seorang wartawan TV3 ketika sidang media di kediaman Datuk Zaid Ibrahim pada Selasa.
Dalam satu kenyataan media, Geramm menganggap Kit Siang telah hilang sabar ketika ditanya pendiriannya berhubung isu skandal BMF dan FOREX sekiranya tidak menjalankan kerjasama politik dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Lim turut dilihat tidak memberi kesempatan kepada wartawan berkenaan untuk mempertahankan diri.
"Geramm dengan ini menegaskan bahawa setiap wartawan mempunyai hak untuk bertanya dan menjalankan tugas tanpa diganggu.
"Sebagai ahli politik veteran, Lim seharusnya memberi contoh yang baik dengan tidak bersikap kasar terhadap petugas media yang hanya menjalankan tugas mereka," kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan media itu, Geramm turut mengingatkan agar pihak sidang pengarang syarikat penerbitan sendiri haruslah mematuhi etika kewartawanan dan melaporkan dengan tepat, telus dan jelas agar kredibiliti mereka tidak terus terhakis dalam era pembaca yang lebih bijak mencari maklumat ini.