Gerakan #UndiRosak ini orang UMNO dan BN yang buat, dakwa Tun M
Firdaus Azil
Januari 23, 2018 14:21 MYT
Januari 23, 2018 14:21 MYT
Gerakan memboikot pilihan raya yang dikenali sebagai #UndiRosak, merupakan perang saraf yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) sendiri, dakwa Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, pihak BN sengaja menggunakan taktik ‘reversed psychology’ (psikologi terbalik) seperti itu, dan membiarkan ianya tular di kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya golongan muda, kerana ia akan memberi keuntungan kepada mereka.
“Masalahnya, UMNO dan BN cuba nak cari kemenangan dengan mengelirukan rakyat, ambil hak mereka semasa pilihan raya dengan mendakwa, kalau undi (Pakatan Harapan), hanya akan mengakibatkan masalah yang sama,” katanya kepada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan gerakan #UndiRosak dimulakan oleh segelintir orang muda di laman sosial media, atas alasan, menolak penamaan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri pilihan Pakatan Harapan.
Mesej yang disampaikan, Dr Mahathir merupakan ‘bapa’ kepada kemusnahan yang berlaku di negara ini sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, dan menaikkannya semula ibarat mencari nahas.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Harapan Datuk Saifuddin Abdullah pada sidang media yang sama mendakwa peratusan keluar mengundi yang tinggi kebiasaannya akan memberi impak negatif kepada BN, seperti mana yang terjadi pada PRU 2008 dan 2013.
“Disebabkan faktor itu, mereka (UMNO dan BN) galakkan orang supaya tak keluar mengundi,” katanya lagi.
#Barisan Nasional
#MalaysiaMemilih
#media sosial
#Pakatan Harapan
#pilihan raya
#Putrajaya
#Saifuddin Abdullah
#Tun Dr Mahathir Mohamad
#UMNO
#undirosak