Gerakan Tanah Air gabungan parti politik Melayu menentang UMNO dalam PRU15 - Tun Mahathir
Fareez Azman
Ogos 4, 2022 16:57 MYT
Ogos 4, 2022 16:57 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Gerakan Tanah Air sebagai gabungan parti politik baharu berlandaskan Melayu dan Islam bagi menentang UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, ia melibatkan gabungan parti Pejuang, parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), badan bukan kerajaan (NGO), ahli profesional dan akademik serta individu tertentu.
"Dengan kerana itu kita telah pilih nama sesuai dengan gerakan kita iaitu nama dipersetujui semua ialah Gerakan Tanah Air.
"Ini adalah satu gerakan rakyat untuk menentukan nasib mereka menjadi lebih baik dengan menukar kerajaan yang utamakan kepentingan diri, kita akan berjuang untuk rakyat, negara dan agama Islam menjadi agama orang Melayu.
"Itulah tujuan kita dan nama ini sudah dipersetujui walaupun kita tak boleh tentukan sama ada ia akan diluluskan kerajaan atau tidak," katanya.
Beliau turut mengumumkan kepimpinan tertinggi Gerakan Tanah Air yang turut dipengerusikan olehnya serta empat timbalan pengerusi.
"Kita juga melantik pemimpin kita. Saya adalah pengerusi bagi gerakan ini, Timbalan Pengerusi ialah Ustaz Zamani Ibrahim (Presiden Berjasa), Datuk Ibrahim Ali (Presiden Putra), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang) dan Datuk Mohamed Mohsin Abdul Razak (Presiden IMAN).
"Kemudian kita akan pilih ahli-ahli pemimpin NGO, mereka akan duduk bersama satu taraf takda perbezaan orang politik dan NGO atau orang perseorangan. Mereka akan duduk bersama dalam Jawatankuasa Gerakan Tanah Air ini," katanya lagi.
Tambah Dr Mahathir, kewujudan gabungan parti politik itu bukan untuk menidakkan hak orang bukan Melayu, sebaliknya bagi membela nasib orang Melayu terutama di kawasan luar bandar.
"Bukan untuk merampas harta orang bukan Melayu, tidak... Bukan untuk menyekat orang bukan Melayu berusaha dapat kekayaan, tidak.
"Sebaliknya kita berusaha untuk membetulkan orang Melayu supaya mereka juga akan dapat bahagian mereka dalam negara kita ini.
"Itulah sebabnya kita adakan gerakan orang Melayu melibatkan parti politik, NGO Melayu dan orang perseorangan daripada ahli profesional, ahli akademik dan sebagainya. Kita menjemput semua orang Melayu yang rasa curiga dengan masa depan mereka supaya menyertai kita ataupun sekurang-kurangnya menyokong perjuangan kita," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Yayasan Bukhari, ibu negara pada Khamis.