Gerakan lancar pemukiman susun strategi hadapi PRU15

Bernama
Mac 13, 2021 11:06 MYT
Lau berkata ia diadakan bagi mendapatkan kepercayaan pengundi dan rakyat Malaysia sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan parti itu yang ditubuhkan sejak 1968. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dominic Lau Hoe Chai hari ini melancarkan pemukiman parti itu untuk membincangkan strategi yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata ia juga diadakan bagi mendapatkan kepercayaan pengundi dan rakyat Malaysia sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan parti itu yang ditubuhkan sejak 1968.
"Retreat dua hari yang bermula hari ini penting bagi Gerakan sebagai persediaan menghadapi PRU15," katanya kepada media selepas merasmikannya di Dewan Pulau Pinang, Menara PGRM di sini hari ini.
Pemukiman itu membabitkan penyertaan 130 perwakilan daripada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Pemuda, Wanita dan peringkat negeri dijalankan secara bersemuka dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi di 22 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- BERNAMA
#GERAKAN #pemukiman #retreat #presiden #Dominic Lau Hoe Chai #strategi #PRU15 #kegemilangan