Gerakan kukuhkan lagi PN sebagai gabungan berbilang kaum, agama - Muhyiddin
Firdaus Azil
Mac 13, 2021 10:24 MYT
Mac 13, 2021 10:24 MYT
KUALA LUMPUR: Penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memperkukuhkan lagi Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti-parti politik di peringkat nasional yang mewakili pelbagai kaum, agama dan wilayah di negara ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi (PN) berkata, beliau percaya Gerakan mampu menjadi rakan komponen signifikan kepada gabungan parti itu.
Jelasnya lagi, keyakinan itu bersandarkan sejarah dan pengalaman politik yang panjang sejak penubuhan Gerakan pada tahun 1968.
“Kerajaan PN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat Malaysia.
“Justeru, kemasukan parti Gerakan adalah tepat pada masanya dalam memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik nasional yang menjadi lambang kepelbagaian masyarakat majmuk di negara kita,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-49 Gerakan secara dalam talian, hari ini.
Perdana Menteri berkata, hari ini juga amat bersejarah kerana buat julung-julung kalinya Gerakan mengadakan persidangan sebagai komponen PN.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan perwakilan untuk mempersiapkan jentera parti di setiap peringkat, serta mengambil iktibar daripada pengalaman yang lepas, terutamanya ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Muhyiddin berkata, persiapan harus dimantapkan dengan cara sentiasa mendekati rakyat, dan mendapat kepercayaan mereka.
“Turunlah bertemu dengan rakyat sekerap mungkin dan sampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Banyak bantuan yang disediakan oleh Kerajaan kepada rakyat menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan. Saudara dan saudari boleh menjadi penyalur maklumat dan pemudahcara untuk memastikan setiap bantuan ini sampai kepada golongan sasar,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata, dengan iltizam, kecekalan dan semangat setiakawan dalam kalangan komponen, segala usaha murni PN akan dapat dizahirkan menerusi mandat rakyat dalam pilihanraya.
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#GERAKAN
#PRU
#pilihan raya umum
#pilihan raya
#rakyat Malaysia
#politik