Gerakan gesa pembentangan RUU Antilompat Parti disegerakan
Astro Awani
April 8, 2022 16:48 MYT
April 8, 2022 16:48 MYT
KUALA LUMPUR: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Dewan Rakyat perlu dilakukan segera, kata Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai.
Dominic berkata, pembentangan RUU itu penting untuk mengelakkan Ahli Parlimen yang dipilih rakyat terjebak dengan budaya rasuah.
Selain itu, beliau menjelaskan, RUU Antilompat Parti akan dapat menjaga kesucian Parlimen serta memelihara kedaulatan negara.
“Parti Gerakan sokong RUU ini kerana dapat mengelakkan amalan rasuah dalam kalangan wakil rakyat dan ini boleh menjaga kesucian Parlimen.
“RUU ini juga mampu mengawal kelakuan ahli politik dan ini akan memelihara kedaulatan negara,” katanya pada sidang media di Menara PGRM, pada Jumaat.
Jelas beliau, Akta Antilompat Parti bukan undang-undang yang baharu, malah 41 negara telah mengamalkannya.
Tambahnya, masalah kestabilan politik dalam negara menjadi kunci utama akta tersebut wajar dilaksanakan segera.
“Kita minta akta ini digubal secara menyeluruh, sekurang-kurangnya mampu selesaikan kemelut politik negara kita hari ini,” katanya lagi.
Dalam masa sama, kata Dominic, definisi lompat parti perlu dibincangkan secara komprehensif supaya dapat memberi keadilan kepada semua pihak.
“Misalnya, kalau ahli politik itu dipecat sebab berlainan pendapat dengan partinya, kemudian masuk parti yang lain. Itu tidak adil untuk dikatakan lompat parti,” katanya.
Pada 11 April ini, kerajaan akan membentangkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan RUU Antilompat Parti tidak memerlukan sokongan dua pertiga majoriti apabila dibentangkan kelak.