Gerakan Bersih yang bersifat politik menguntungkan BN - Annuar
Nuradilla Noorazam
November 23, 2016 20:47 MYT
November 23, 2016 20:47 MYT
Gerakan Bersih yang berlangsung Sabtu lalu bukan lagi bermotifkan gerakan rakyat untuk pilihan raya yang bersih dan adil.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata parti pembangkang sudah merampas gerakan Bersih dan ia bakal menguntungkan Barisan Nasional menjelang pilihan raya ke-14 nanti.
Menurutnya pengaruh pembangkang yang kuat dalam Bersih menyebabkan ia hanya menjadi sebagai satu wadah politik sahaja.
Pembangkang, katanya, berkempen untuk menjatuhkan kerajaan secara terbuka dan memastikan bahawa penyokong dan ahli mereka turut serta dalam perhimpunan.
Jelasnya UMNO, terutamanya, mengambil perhatian khusus dalam perhimpunan Bersih kali ini kerana pembabitan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kewujudan dua parti politik baharu yang menyertainya.
"Kami sangat berpuas hati dengan perkembangan Bersih. Sesetengah orang memang bimbang apabila mereka melihat perhimpunan tersebut tetapi saya memilih untuk melihat dari sudut positif. Sebenarnya saya mahu lihat perhimpunan itu bergerak habis-habisan, malah, saya risau jika Mahathir tidak hadir atau pemimpin kanan parti pembangkang tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan itu.
"Kerana ia bermaksud mereka sedang menyimpan kekuatan mereka tetapi jelas sekali dalam perhimpunan Bersih lalu, mereka telah 'all out' ataupun membuat sehabisnya dan dari situ kami ukur persepsi dan kemungkinan pengaruh mereka sewaktu pilihan raya nanti.
"Kami mengukur dari segi jumlah yang hadir, dari bentuk penganjuran dan partisipasi dan sejauh mana momentum, semangat rakyat yang hadir ke perhimpunan tersebut. Apa yang saya lihat kekuatan Bersih tidak bertambah berbanding perhimpunan 1,2,3 walaupun terdapat kewujudan dua parti politik baharu, iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Annuar memberitahu Bersih sebagai satu perhimpunan awam masih lagi dikepalai DAP dengan sebahagian besar yang hadir masyarakat Cina.
Malah beliau menambah orang Melayu yang hadir hanya minoriti dan bukan masyarakat dari luar bandar.
Menurutnya, perkara ini memberi keyakinan kepada UMNO menjelang pilihan raya depan kerana kubu kuat UMNO di kawasan luar bandar tidak terjejas.