Gerakan adakan persidangan perwakilan negeri untuk persediaan PRU tergempar
Bernama
Ogos 15, 2020 19:17 MYT
Ogos 15, 2020 19:17 MYT
Parti Gerakan akan mengadakan persidangan perwakilan negeri (SDC) pada September dan Oktober ini bertujuan membuat persediaan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 dibuat secara tergempar.
Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata persidangan bertemakan 'Demi Rakyat, Gerakan Berjuang' itu akan bermula di Kedah dan semua pemimpin dan ahli jawatankuasa Gerakan akan menjelajah ke seluruh negeri untuk menghadiri acara peringkat negeri parti itu.
Beliau berkata sekiranya pilihan raya umum tergempar diadakan tahun ini, ia akan menjadi yang pertama buat Gerakan bertanding sebagai parti bebas selepas keluar daripada Barisan Nasional pada Jun 2018.
"Ini pilihan raya yang penting bagi Gerakan, jadi saya minta agenda peribadi setiap perwakilan diketepikan dahulu, kita hendaklah bersatu hati menghadapi pilihan raya akan datang," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pusat di sini hari ini.
Lau berkata Gerakan juga telah menerima senarai nama calon dan kawasan yang ingin ditandingi.
Bagaimanapun, beliau berkata parti akan menyerahkan senarai nama itu kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Insolvensi untuk memastikan calon mereka bersih daripada rekod jenayah sebelum layak bertanding dalam pilihan raya itu.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#GERAKAN
#jenayah
#Malaysia
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#Rasuah
#SPRM