Gerak kerja lebih penting daripada sasaran peratusan kemenangan - Muhyiddin

Arfa Yunus
Mac 1, 2019 19:08 MYT
MUHYIDIN: Apa yang penting adalah pusingan terakhir dan kita perlu bekerja lebih kuat.
Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan sasaran peratusan kemenangan seperti Barisan Nasional (BN) kerana gerak kerja lebih penting daripada membuat ramalan.
Kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin, apa yang penting ketika ini adalah usaha saat akhir bagi memastikan kemenangan PH di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.
“Di sini manjoriti pengundi adalah Melayu dan pengundi Melayu terpecah kepada beberapa kumpulan dengan dengan PH, BN, PAS dan lain lagi.
“Kemudian pengundi Cina macam mana keadaan? Pengundi India pula bagaimana keadaannya? Kita tahu semua itu.
“Bagi saya apa yang penting adalah pusingan terakhir dan kita perlu bekerja lebih kuat supaya (undi) cenderung kepada kita,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini Jumaat.
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita sekiranya PH ada meletakkan sasaran peratusan kemengan seperti BN yang meletakkan sasarannya pada 60 peratus.
Dalam pada itu beliau turut mengingatkan jentera PH agar tidak terlalu yakin dengan kemenangan, sebaliknya meneruskan kerja hingga tamat waktu berkempen.
PRK Semenyih pada 2 Mac ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (BN), Kuan Chee Heng (BEBAS) dan Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia).
PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih dengan 8,964 undi majoriti mengalahkan tiga calon lain daripada BN, Pas dan PSM.
Sebelum itu, Semenyih merupakan kubu kuat BN sejak kerusi itu pertama kali dipertandingkan pada 1959.
#Barisan Nasional #Bersatu #Pakatan Harapan #pengundi #politik #PPBM #PRK Semenyih #semenyih memilih
;