Gencatan politik: 'Bukan masa untuk bernostalgia' - Penganalisis
Hafizi Rosli
Oktober 23, 2020 11:34 MYT
Oktober 23, 2020 11:34 MYT
KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengisytiharkan gencatan politik adalah bertepatan dengan keadaan semasa ketika negara memerangi penularan COVID-19.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berpendapat isu perebutan kuasa, jawatan mahupun hal parti haruslah dikurangkan kerana rakyat dilihat muak dan jemu dengan 'politiking' keterlaluan ketika ini.
"Bukannya masa untuk bernostalgia kerana keadaan semasa agak membimbangkan.
"Kita seharusnya berpijak di bumi nyata demi negara tercinta.
"Biarlah sebarang rundingan dilaksanakan oleh mereka yang diberi amanah, di belakang tabir tanpa menimbulkan keluh kesah rakyat," kata Shahbudin dalam satu kenyataan.
Ia dilihat satu langkah mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dengan menolak apa jua bentuk kepentingan diri.
Jelasnya, tindakan mengisytiharkan gencatan politik ini turut disokong Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Anuar Musa yang melihat pergolakan politik tidak akan menyelesaikan pandemik kerana tumpuan harus diberikan kepada ekonomi dan kesihatan.
Penangguhan Persidangan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO tahun ini ke awal tahun hadapan bertepatan dengan masanya, dalam memastikan keselamatan ahli dan rakyat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang menyarankan agar aktiviti kemasyarakatan perlu diteruskan dengan pematuhan SOP dilihat perlu didukung seluruh pemimpin dan ahli.
"UMNO sejak berzaman adalah parti yang mengutamakan kepentingan rakyat jelata.
"Di samping itu kita seharusnya akur dengan titah dan kebimbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong serta Raja Raja Melayu," katanya.