Gelora UMNO: Hanya perlu satu kapal dan satu nakhoda - Nazri Aziz
Irwan Muhammad Zain
Februari 23, 2023 12:29 MYT
Februari 23, 2023 12:29 MYT
KUALA LUMPUR: Sesebuah parti seperti UMNO umpama sebuah kapal yang sedang belayar di lautan bergelora, kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Menurut Mohamed Nazri, kapal yang membawa ramai anak kapal dan penumpang itu hanya memerlukan seorang nakhoda untuk mengemudikan pelayaran.
Jelas beliau, nakhoda itu perlu bertanggungjawab dengan apa cara sekalipun untuk membawa kapal tersebut ke destinasi yang sepatutnya ditujui.
"UMNO ini sebuah kapal, sebuah kapal ini mesti wujud dengan nakhodanya. Jadi dalam apa yang berlaku juga, sama ada betul ke tak betul ke, demokratik ke tak demokratik ke, pada saya yang penting sekali kapal tu mesti ada.
"Dan saya dapat mengenal pasti kapal itu masih ada dan dalam kapal itu cari lah nakhoda, nakhodanya masih ada, walaupun orang kata berlaku pertikaman ke apa ke, kapal ada nakhoda.
"Mengapa kapal dan nakhoda mesti ada kerana pepatah Melayu ada mengatakan, kalau kita sesat di tengah jalan balik ke pangkal, dan kita ikut itu, satu kapal satu nakhoda.
"Pada saya kapal masih ada, nakhoda masih ada, walaupun orang kata itu ini, nakhoda ada, jadi kita pegang kapal kita, bagitahu lah nakhoda bawa la kita balik rumah balik, itu yang penting," katanya kepada Astro AWANI.
Mohamed Nazri menjelaskan beliau kini bukan lagi ahli politik dan pandangan yang diberikan hanyalah bersifat peribadi.
Jelas beliau, pendiriannya kini berbeza berbanding ketika masih lagi memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas.
"Dulu saya aktiflah, sebab saya berhak untuk tubuh kerajaan bukan parti, saya berhak. Sekarang saya tidak berhak lagi, sebab itu saya tidak buat apa-apa komen dan sekarang saya akan ikutlah arahan daripada MKT sebab saya ahli biasa bukan ahli Parlimen.
"Jadi kalau ditanya mengapa sekarang saya tidak bersuara kerana saya bukan lagi ahli Parlimen, apa yang saya buat semua ikut peraturan.
"Jadi saya diam sekarang, tak kan saya nak dengar orang ini bercakap, orang itu bercakap, dia siapa? Tetapi kalau Datuk Seri Zahid bercakap, dia presiden UMNO, masih lagi, apa sekalipun kita kata, ini lah kapal kita, ini lah nakhoda kita, sebab itu saya ikut," katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas, Mohamed Nazri mengotakan janjinya untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas.
“Saya perlu buktikan bahawa bukan semua orang politik tidak berpegang pada janjinya seperti mana tanggapan umum sebelum ini.
“Jika sebelum ini ramai yang sangsi kerana ada sesetengah ahli politik hari ini umum tidak mahu bertanding tetapi bila PRU tetap jadi calon, saya telah buktikan itu bukan saya.
“Nazri Aziz adalah Nazri Aziz,” katanya.
Pada 9 Februari lalu, Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.