'Gelombang rakyat' dikatakan PN hanya temberang - Ahmad Maslan
Sinar Harian
Ogos 27, 2023 19:53 MYT
Ogos 27, 2023 19:53 MYT
JOHOR BAHRU: Istilah gelombang rakyat yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) ketika ini hanyalah temberang dan cakap-cakap kosong, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor turut mempersoalkan penggunaan istilah tersebut yang tidak tepat seolah-olah menggambarkan seluruh rakyat menyokong gelombang berkenaan.
"Itu bukan gelombang rakyat, macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat, ini kerana Malaysia ada 14 negeri dan mereka dapat empat negeri sahaja, Kita ada 10 negeri.
"Takkan mereka tak tahu matematik, 10 jauh lebih banyak daripada empat.
"Jangan nak cakap itu gelombang rakyat, temberang saja. Itu hanyalah gelombang hijau yang tak sampai ke mana dan empat negeri itu sahajalah gelombangnya," katanya mengulas mengenai gelombang rakyat yang dikatakan turut berlaku di Johor..
Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bukit Kempas di sini pada Ahad.
Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Ramli Bohani dan calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Mengulas lanjut, beliau percaya pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bijak menilai dan membuat keputusan tepat bagi memilih wakil rakyat di kawasan mereka.
Ahmad Maslan berkata, sudah tentu pengundi di kawasan terlibat tidak mahu kawasan yang berada dalam kerajaan hari ini ditadbir oleh pihak pembangkang.
Katanya, Parlimen dan DUN tersebut sebelum ini berada di bawah wakil rakyat kerajaan selain meminta pengundi menjadi rasional dengan menolak calon pembangkang supaya Pulai dan Simpang Jeram tidak menjadi kawasan pembangkang.
"Kenapa kita tiba-tiba nak jadi pembangkang. Kawasan pembangkang ini tidak ada faedah, satu sen pun. Jadi, kita teruskan supaya kawasan ini berada dalam kerajaan.
"Mereka perlu bijak menilai sama ada mereka mahu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dengan kerjasama PH (Pakatan Harapan) dan BN atau sebaliknya.
"Perlu diketahui bahawa di peringkat Pusat telah selesai dan kerajaannya adalah Kerajaan Perpaduan. Kalau lain yang dipilih di sini, sudah tentu akan menjadi pembangkang termasuklah di bawah kerajaan negeri ini," ujar beliau.
Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan akan berdepan dengan calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Datuk Seri Salahuddin Ayub berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai selepas memperoleh 64,900 undi menewaskan Nur Jazlan (BN) yang memperoleh 31,726 undi manakala calon PN, Loh Kah Yong memperoleh 20,677.
PRK dilaksanakan susulan kekosongan luar jangka kerusi itu berikutan kematian Salahuddin pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos depan, 5 September pengundian awal dan 9 September hari mengundi untuk PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. - Sinar Harian