JOHOR BAHRU: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin 'gelombang hijau' yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini tidak akan berulang di Johor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri itu bulan depan.

Beliau berkata ini kerana naratif pembangkang ketika PRN di enam negeri kononnya Kerajaan Perpaduan atau kerajaan pusat akan jatuh sekiranya pengundi memberi undi kepada pembangkang, terbukti tidak benar.

"(Terbukti) mana ada kerajaan pusat akan jatuh. Itu tidak mungkin berlaku dan faktor (naratif) itu tak boleh digunakan untuk PRK ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata walau apa pun keputusan PRK, kerajaan pusat akan berada pada tahap yang selesa.

"Atas sebab itu, pentingnya bagi mana-mana parti yang bertanding mestilah parti yang boleh bekerjasama dengan kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri supaya rakyat tidak tercicir," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan Pengerusi BN Johor.

Mengenai keyakinan beliau terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, Mohamed Khaled berkata kedua-dua kerusi berkenaan akan kekal milik Amanah dengan kerjasama mantap antara PH dan BN.

Terdahulu, mesyuarat khas secara tertutup lebih sejam itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi PH Johor yang juga Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Halim Suleiman.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos, diikuti pengundian awal pada 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.

Kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

-- BERNAMA