Gaya hidup pemimpin UMNO yang mewah punca kekalahan BN - Ahmad Said
Astro Awani
Jun 25, 2018 23:06 MYT
Jun 25, 2018 23:06 MYT
Calon Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Said menyalahkan gaya hidup pemimpin parti yang terlalu mewah dan kelihatan elit sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Katanya, gaya hidup pemimpin UMNO yang mewah dan terlalu elit itu menyebabkan mereka terpisah dari masyarakat dan sukar didekati selepas dipilih menjadi wakil rakyat.
Selain itu, Ahmad Said juga berkata ada dalam kalangan pemimpin UMNO berubah sikap mereka sebelum mendapat jawatan dalam parti atau menjadi wakil rakyat.
"Kita manusia boleh bercakap soal amanah, soal integriti sebelum mendapat peluang, apabila mendapat peluang mereka sudah dapat di mana punca mencari kewangan, kekayaan dan sebagainya.
"justeru itu kita perlu memikirkan iaitu orang yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat," katanya dalam program Dialog Naib Presiden di Astro AWANI malam tadi.
Manakala seorang lagi calon yang merebut kerusi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpendapat penolakan rakyat terhadap BN ialah atas faktor kreadibiliti dan intergriti parti dan pemimpinnya.
Katanya, sekiranya masyarakat mula mempersoalkan kreadibiliti dan intergriti parti dan pemimpin, maka segala usaha dan khidmat yang diberikan tetap tidak diterima.
Hujah beliau antara punca masyarakat menolak UMNO dan BN, ialah apabila terlalu banyak persoalan yang timbul gagal atau tidak dapat dijawab oleh pemimpin parti akibat hilangnya kreadibilti dan integriti.
"Benda-benda yang 'basic' yang kita tidak boleh jawab dan kita tidak penuhi yang masyarakat umum mengkehendakikan jawapan, kita tidak boleh beri maka over the priod of time kita hilang kredibiliti dan integriti," katanya.
Ahmad dan Johari merupakan antara tujuh calon merebut jawatan naib presiden selain Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Tajuddin Rahman dan Sheikh Razak Sheikh Hamid.
#Datuk Seri Ahmad Said
#Datuk Seri Ismail Sabri
#Datuk Seri Johari Abdul Ghani
#Datuk Seri Mahdzir Khalid
#Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
#Datuk Seri Tajuddin Rahman
#Malaysia
#Naib Presiden
#Pemilihan UMNO
#UMNO