Gandingan PM, Abang Jo bukti keserasian dan hormat-menghormati - Alexander

Hasimi Muhamad
September 29, 2024 15:15 MYT
Ahli Parlimen Kapit itu menyifatkan gandingan Anwar dan Abang Jo sebagai ‘Segulai Sejalai’. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan kejayaan yang dicapai oleh Sarawak sehingga hari ini tidak dapat berdiri sendiri tanpa kestabilan pentadbiran Kerajaan Pusat.
Menteri Kerja Raya itu, yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata dalam konteks berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa Malaysia melakar landskap politik baharu.
Ia sekali gus, katanya telah mewujudkan kestabilan dan meningkatkan keupayaan kerajaan dalam membawa lebih banyak kebaikan kepada rakyat dan negara.
"Tidak salah rasanya jika saya katakan gandingan Perdana Menteri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membuktikan (sebagai satu) gandingan yang penuh keserasian dan hormat-menghormati serta persefahaman utuh dengan memegang satu tekad yang sama iaitu memulihkan dan mengangkat semula martabat negara yang pernah dikenali sebagai 'the Asian Tiger’.
"Usaha ini tidak mudah, tetapi 'definitely possible'," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Kapit, hari ini.
Berucap lanjut, Ahli Parlimen Kapit itu juga menyifatkan gandingan Anwar dan Abang Jo sebagai ‘Segulai Sejalai’.
Katanya, perkara itu dapat diterjemahkan melalui penglibatan dan usaha secara serius kedua-dua pemimpin dalam meneroka teknologi baharu.
"... pada masa yang sama, memegang utuh aspek kesejahteraan rakyat yang tidak berbelah bahagi. Gandingan tersebut bukanlah gandingan materi semata-mata, tetapi turut menyentuh aspek kemanusiaan tanpa mengira latar belakang," tambah beliau.
Menyentuh perkembangan di Parlimen Kapit pula, Alexander berkata kawasan itu berupaya menyokong hasrat Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi memacu ekonomi baharu dalam teknologi melalui pembinaan tiga empangan mega iaitu Bakun, Murum dan Baleh.
Katanya lagi, bahagian Kapit berpotensi menjadi pengeluar utama pembangunan industri tenaga yang boleh diperbaharui kerana mempunyai keluasan 1.6 juta hektar kawasan hutan yang boleh menghasilkan dan menyimpan karbon.
"Perancangan untuk mewujudkan empangan lata di beberapa buah sungai di Kapit ini merupakan salah satu sumber terbaharu ekonomi di bahagian Kapit.
"Dalam hal ini, mungkin Premier Sarawak boleh menjelaskan bagaimana rakyat setempat di lokasi empangan lata itu dapat meraih secara langsung keuntungan bersama daripada pembangunan projek berkenaan," ujar Alexander.
Bagi memastikan usaha tersebut dapat berjalan lancar, beliau juga berharap kemudahan infrastruktur awam dapat dipertingkatkan termasuk mempertimbangkan pembinaan jalan dari Samaram - Kapit sejauh 72 kilometer (KM).
#Alexander Nanta Linggi #Anwar Ibrahim #Kestabilan Kerajaan Perpaduan #Abang Johari Tun Openg
;