'Gandingan Najib, Ahmad Zahid jana kekuatan baharu UMNO' - Syed Ali

Astro Awani
Mei 12, 2016 00:23 MYT
SYED ALI: Gandingan Najib, Ahmad Zahid jana kekuatan baharu UMNO' - Gambar fail
Gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai semakin mantap dan mampu menjana kekuatan baru kepada perjuangan orang Melayu bersama UMNO untuk berdepan dengan ancaman pihak lawan khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, semua ahli UMNO juga seharusnya sentiasa teguh di belakang kepimpinan pucuk pimpinan parti dengan sentiasa teguh berpegang kepada semangat 'bersatu, bersetia, berkhidmat'.
"Tidak ada sebab mengapa kita perlu menidakkan keupayaan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang sedang bertungkus lumus untuk mempertahankan kedudukan serta kepentingan orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.
"Jangan kita memperlekehkan kemampuan Timbalan Presiden UMNO, Ahmad Zahid yang diangkat selaku Timbalan Perdana Menteri, untuk berganding bahu dengan Najib bagi memacu kegemilangan parti dan negara.
"Pengalaman saya selama 18 tahun sebagai Ketua Bahagian, yang pernah 'berkhidmat' di bawah tiga orang Perdana Menteri, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib membuktikan UMNO sentiasa relevan dengan kehidupan orang Melayu," katanya dalam catatan terbaharu di blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.
Hari ini genapnya 70 tahun usia UMNO, sebuah parti Melayu yang menjadin teras pembinaan tamadun budaya bangsa disamping terus utuh memperjuang dan mempertahankan syariat Islam.
Dalam usia itu juga, bermakna UMNO tidak boleh dipisahkan dengan denyut nadi orang Melayu dan syiar Islam yang turut termaktub dalam Perlembagaan Negara.
Dalam pada itu, Syed Ali tetap yakin UMNO tidak akan hanyut atau rebah walaupun sentiasa diserang dengan pelbagai fitnah dan dilandai badai serta gelora.
"Percayalah, tanpa adanya UMNO, belum tentu lagi orang Melayu mampu berdiri gagah sepertimana yang ada hari ini.
"Yakinlah, tanpa UMNO, kiita sebagai bangsa Melayu di tanah air bertuah ini belum tentu lagi menikmati kemakmuran seperti yang sedang kita kecapi hari ini.
"Oleh sebab itu, saya sentiasa mengingatkan ahli-ahli parti agar sentiasa berpegang kepada semangat perpaduan, kekal dalam silaturahim dan kukuh bertoleransi agar kita menjadi rumpun Melayu yang setia bersama UMNO," ujarnya.
Katanya lagi, tempoh tujuh dekad bukan tempoh masa yang pendek selain perjalananan cukup panjang untuk UMNO kekal utuh sebagai parti yang mendominasikan pembentukan kerajaan Persekutuan walaupun mengharungi siri PRU yang sengit dan mencabar.
"Bagaimanapun, dalam kita berasa bangga dan bersyukur dengan nikmat kejayaan UMNO, kita juga hendaklah sentiasa berwaspada dan sentaiasa bersiap-siaga terhadap musuh-musuh yang sememangnya mahu meruntuhkan intitusi UMNO bagi menghancurkan masa depan ketuanan Melayu dan umat Islam di negara ini.
"Memang kita tidak dapat nafikan, akan berlaku pergeseran sesama sendiri dalam satu keluarga besar seperti UMNO ini, tetapi natijahnya kita perlu melihat kepada kepentingan parti dan orang Melayu secara keseluruhannya.
"Jangan kita terbawa-bawa dengan sikap kebencian melampau, hasad dengki, khianat sehingga kita sengaja memilih jalan songsang untuk melumpuhkan UMNO hanya kerana rasukan dendam. Sedarlah, perbuatan seumpama itu seperti menikam bangsa sendiri," katanya.
Oleh sebab itu tegasnya, ahli parti diminta untuk bermuhasabah dan sentiasa sedar betapa UMNO bukan lagi organisasi yang hanya menjadi kebangaan orang Melayu, malah tiang seri yang menentukan jatuh bangunnya bangsa dan negara.
#ahmad zahid #najib #PRU #Syed Ali #UMNO