Gandingan dengan Abdul Rahman mampu perkukuh UMNO Sabah - Bung Moktar

Bernama
April 11, 2023 11:15 MYT
Menurut Bung Moktar, beliau boleh bekerjasama dan suka digandingkan dengan Abdul Rahman. - Foto fail/BERNAMA
SANDAKAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin melihat gandingan dengan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang dilantik sebagai timbalannya, mampu mengukuhkan parti itu di peringkat Sabah.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata walaupun pada luarannya nampak ada pertelagahan antara beliau dan Abdul Rahman, beliau melihat ia suatu perkara biasa dalam politik dan yang penting kedua-duanya mahu membawa UMNO Sabah ke tahap lebih tinggi.
Menurut Bung Moktar, beliau boleh bekerjasama dan suka digandingkan dengan Abdul Rahman yang juga mempunyai pengalaman untuk menyumbang kepada pembangunan parti itu di peringkat negeri berdasarkan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kota Belud dan menteri di peringkat Persekutuan sebelum ini.
"Dia (Abdul Rahman) selalu dihentam orang dan saya pun selalu kena hentam, jadi saya bersedia menyatakan bahawa mungkin Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) melihat perlu ada kecantuman (gandingan) untuk memimpin UMNO Sabah ini dan saya menyahut cabaran itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Iftar Ramadan UMNO Bahagian Kinabatangan di sini malam tadi.
Mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya, Bung Moktar mahu ahli UMNO bersedia, bertindak aktif serta agresif mempertahankan pemimpin dalam parti itu apabila diserang parti lawan khususnya di media sosial.
Beliau berkata sehubungan itu, pasukan siber akan diwujudkan di setiap pusat daerah mengundi (PDM) UMNO, yang disifatkannya akan memberi impak lebih tinggi untuk membantu kekuatan parti itu.
"Ini penting sebab kita telah membuat kajian dalam PRU dan PRN lepas, parti yang tidak menelaah, yang tidak menggunakan kekuatan melalui media sosial akan dikalahkan.
"Realitinya, gambaran politik pada ketika ini telah berubah daripada landskap politik biasa, dengan setiap parti perlu merungkai dan perlu mencari pendekatan baharu untuk memastikan parti itu akan terus sentiasa relevan dalam berhadapan pilihan raya," katanya.
Bung Moktar mengakui kelemahan UMNO dalam memenangi banyak kerusi pada PRU dan PRN lepas disebabkan budaya parti itu, dengan kebanyakan ahlinya tidak memainkan peranan untuk menghalang dan membela kritikan terhadap pemimpin mereka melalui media sosial.
"Bahkan mereka terikut-ikut dengan rentak pembangkang (contohnya) apabila sebuah blog menyiarkan bermacam-macam, orang UMNO sendiri pula 'discredit' atau memburukkan pemimpin dia (sendiri)," katanya.
Bung Moktar turut menyamakan serangan terhadap pemimpin dalam politik dengan serangan terhadap seorang jeneral dalam peperangan iaitu pasukan akan menjadi lemah apabila seorang jeneral itu telah dikalahkan.
-- BERNAMA
#Bung Moktar Radin #Abdul Rahman Dahlan #UMNO Sabah #pemimpin
;