Gagasan Rakyat masih pada tahap merangkak - Penganalisis

Faida Rahim
Mac 2, 2023 20:44 MYT
Persoalan sama ada Sabah kekal sebagaimana seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) atau terbang lebih tinggi bergantung kepada pembaharuan dibawa oleh GRS dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor.- Facebook Bernama Radio
KUALA LUMPUR: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menjadi landasan baharu politik bekas ahli dan pemimpin Bersatu Sabah masih lagi di tahap 'merangkak'.
Penyelidik GeoPes Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Syahruddin Awang Ahmad berpendapat, GRS perlu membuktikan kemampuan mengubah persepsi bahawa parti lokal mampu mengangkat suara rakyat negeri itu.
“Gabungan Rakyat Sabah melalui Gagasan Rakyat yang baru dilancarkan pagi tadi masih baru. Bagi saya, dalam konteks landskap dan juga dinamik politik Sabah, ia masih lagi di tahap merangkak.
“Belum dapat membuktikan bahawa parti ini, jika dibandingkan dengan parti yang sudah established sebelum ini, boleh memberikan satu kebaikan kepada rakyat Sabah.
“Justeru mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri dalam tempoh dua tahun lebih akan datang adalah gelanggang terbaik untuk kita melihat sejauh mana Gagasan Rakyat melalui GRS ini boleh membuktikan mereka ada momentum...
"... untuk mengubah persepsi bahawa parti lokal ini sebenarnya mampu untuk bersuara sebagaimana GPS di Sarawak, untuk didengari oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam program 100 Hari Kerajaan Perpaduan, hari ini.
Gagasan Rakyat Sabah dilancar secara rasmi
Dalam masa sama, persoalan sama ada Sabah kekal sebagaimana seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau terbang lebih tinggi bergantung kepada pembaharuan dibawa oleh GRS dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan parti Barisan Nasional telah membuktikan sumbangan mereka selama 60 tahun di Sabah.
“Ini satu cabaran kepada GRS membuktikan sekurang-kurangnya menjamin bahawa parti lokal wilayah Sabah hari ini mampu untuk menyaingi Barisan Nasional,” katanya.
#Barisan Nasional #Hajiji Noor #pilihan raya kecil #Gagasan Rakyat Sabah
;