Gagal 'letak jawatan' selepas keluar parti: Warisan saman ADUN Sebatik

Bernama
April 7, 2021 06:49 MYT
Hassan memutuskan hubungan dengan Warisan pada 25 Feb lepas dan menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Bersatu pada Isnin. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) telah memfailkan saman terhadap Hassan A Gani Pg Amir kerana gagal meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik selepas meninggalkan parti itu.
Writ itu menamakan Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto Padua Jr sebagai plaintif bagi pihak parti tersebut.
Antara lain, Warisan memohon perintah mahkamah untuk memaksa Hassan, yang memutuskan hubungan dengan parti itu pada 25 Feb lepas, memenuhi obligasi surat peletakan jawatan sebagai ADUN Sebatik yang telah ditandatanganinya sebelum ini.
Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sebatik semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September tahun lepas atas tiket Warisan.
Pada Isnin lepas, Hassan telah menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Bersatu semasa majlis sambutan ulang tahun kedua parti itu di sini.
-- BERNAMA
#mahkamah #letak jawatan #keluar parti #Warisan #saman #ADUN Sebatik #Hassan A Gani Pg Amir
;