Gagal laksana AIP dan APP, Malaysia dilanda kelesuan politik
Harits Asyraf Hasnan
Disember 26, 2020 11:36 MYT
Disember 26, 2020 11:36 MYT
KUALA LUMPUR: Defisit keyakinan rakyat terhadap demokrasi akan makin terhakis sekiranya Akta Integriti Pilihan Raya (AIP) dan Akta Pembiayaan Politik (APP) gagal digubal.
Pensyarah Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Mujibu Abdul Muis berpendapat sekiranya ia gagal direalisasikan, penglibatan rakyat, khususnya belia dalam politik negara juga akan semakin melemah sekali gus menjadi punca kelesuan politik.
"Kita ada kerisauan berkenaan gerakan untuk memboikot undi, orang tidak pulang mengundi, tidak mahu terlibat dalam pilihan raya dan sebagainya akan meningkat.
"Jika ini meningkat, sudah tentu ia tidak bagus kepada politik negara disebabkan defisit keyakinan tersebut, maka kita akan menghadapi satu kemurungan dan kelesuan politik yang secara tidak langsung akan memberi kesan besar kepada politik negara.
"Ini kerana demokrasi itu harus digerakkan di peringkat bawahan dan rakyat itu sendiri harus merasakan demokrasi menjadi mekanisme dan alat untuk mereka bersuara dan terlibat secara aktif dalam politik, tetapi kalau ini telah dimatikan kita akan hadapi kelesuan atau kemandoman politik," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Tambah beliau, krisis integriti politik yang berlaku pada ketika ini bukan perkara baharu dengan mengambil kira apa yang terjadi di Kelantan pada tahun 1990 melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dan Limbongan.
"Ketika itu ADUN Parti Melayu Semangat 46 telah menyertai UMNO sekali gus mewujudkan satu krisis kepimpinan yang melibatkan kes mahkamah yang menjadi titik mula kepada apa yang berlaku hari ini.
"Jadi saya berpendapat bahawa ahli politik sendiri harus sedar. Kalau tidak ada satu kesepatan atau melakukan keazaman politik dan melakukan perubahan ini, saya rasa negara tidak akan ke mana-mana.
"Sekiranya orang politik beranggapan perkara ini masih tidak perlu kerana ia adalah senjata sulit untuk memastikan kuasa masih di tangan, maka saya tidak nampak apa-apa yang kita cadangkan ini akan berhasil untuk memulangkan politik negara ke landasan yang betul," tegasnya.
Semalam, Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam temu bual bersama Astro AWANI berpendapat keazaman serta kesungguhan para pemimpin serta parti politik di negara ini dilihat tidak jelas dalam usaha merealisasikan penggubalan AIP dan APP.
Usaha itu dilihat terbantut susulan berlakunya peralihan kerajaan pada penghujung Februari yang lalu walaupun draf Rang Undang-Undang (RUU) itu telah dihantar untuk pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
#undang-undang
#pilihan raya
#politik
#integriti
#Parlimen
#kerajaan
#majlis belia malaysia
#MBM
#Mujibu Abdul Muis