Gabungan baharu bentuk kerajaan di Johor - Istana Johor
Hasimi Muhamad
Februari 27, 2020 14:16 MYT
Februari 27, 2020 14:16 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan agar Gabungan Baharu membentuk kerajaan di negeri itu selepas menyaksikan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokong gabungan tersebut berbanding 26 Adun memilih Pakatan Harapan (PH).
Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata keputusan itu dibuat selepas Sultan Ibrahim berpuas hati pada sesi temu bual yang berlangsung pada Selasa di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di Johor Bahru.
“Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon Menteri Besar sebelum susunan barisan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Negeri yang baharu dilantik
“Tuanku (Sultan Ibrahim) berharap agar pentadbiran kerajaan Negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat di negeri Johor,” demikian katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Jaba, pada pertemuan tersebut setiap Adun dikehendaki menandatangani Surat Akaun Bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka.
Katanya, daripada 56 Adun yang dititahkan untuk menghadap Sultan Ibrahim, dua daripadanya tidak hadir.
Mereka masing-masing adalah Adun Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub (AMANAH) dan Adun Puteri Wangsa, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang.