Gabung PAS-UMNO: 'Hindari ego dan tamak jika mahu bersatu' - Sazali

Wan Syamsul Amly
Disember 17, 2015 21:39 MYT
SAZALI: Gabung Pas-UMNO: 'Hindari ego dan tamak jika mahu bersatu' - Gambar fail
PAS dan UMNO dinasihat menurunkan sikap ego dan menghindari sifat tamak masing-masing jika benar-benar ikhlas untuk bersatu.
Setiausaha UMNO Lembah Pantai Datuk Sazali Kamilan berkata, semua penggerak dan pejuang parti juga sewajarnya berdoa, agar walaupun PAS dan UMNO bukan bergabung, satu persefahaman atas nama Melayu Islam sudah dikira memadai.
"Sewajarnya UMNO dan PAS, masing-masing perlu turunkan ego dan hindari sifat tamak. Alangkah cantiknya jika pada PRU-14, di Kelantan misalnya, UMNO beri laluan kepada PAS di kawasan PAS popular dan begitu juga sebaliknya di kawasan UMNO popular.
"Mungkin juga melalui 'persefahaman' ini, Menteri Besar Kelantan adalah daripada PAS dan kuota Exco Kerajaan Negeri diberi juga kepada UMNO.
"Barulah sama ada UMNO atau PAS boleh kuasai negeri Selangor dan mungkin juga Pulau Pinang. Apa yang penting ia diterajui oleh orang Melayu Islam daripada UMNO atau PAS. Tidak sesekali oleh PKR seperti sekarang ini di Selangor," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Sazali mengulas pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu jelas Sazali, kekuatan Melayu Islam dilihat diperlukan seperti Lembah Pantai sendiri untuk memastikan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Di Lembah Pantai sendiri kita berhadapan dengan Melayu PAS yang keliru, Melayu PKR yang masih belum sedar dan Melayu atas pagar yang tunggu dan lihat.
"Manakala pengundi bukan Melayu tidak takut dengan kita sebab Melayu kelihatannya tidak bersatu. Pengundi bukan Melayu akan gerun dan hormat kita apabila Melayu Islam bersatu.
"Adakah kita rela melihat BN tidak berjaya lagi di Lembah Pantai akibat Pengundi Melayu yang keliru dan Pengundi Melayu yang tunggu serta lihat dan juga Pengundi bukan Melayu yang tidak gerun dan hormat kepada pemimpin Melayu Islam?" tegasnya.
#Bersatu #Kelantan #PAS #PRU #sazali #Selangor #UMNO
;