Fuziah Salleh tidak akan melobi sebarang jawatan dalam Kabinet
Astro Awani
Mei 13, 2018 21:10 MYT
Mei 13, 2018 21:10 MYT
Ahli Parlimen Kuantan tiga penggal berturut Fuziah Salleh berkata beliau tidak akan melobi untuk sebarang jawatan didalam kabinet kerajaan Pakatan Harapan yang baharu.
Fuziah yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengakui memang terdapat desas-desus menyatakan sokongan untuk beliau berada dalam Kabinet, namun itu bukan keutamaan baginya.
Namun, Fuziah tidak juga menolak sekiranya pucuk pimpinan memberi kepercayaan kepadanya bagi memikul amanah rakyat tersebut.
“Saya serahlah pada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Pada saya, ia bukan keutamaan. Ia amanah yang berat.
“Allah mengetahui segalanya, dan pucuk pimpinan juga mengetahui. Jika mereka rasa saya di kedudukan yang boleh berkhidmat untuk negara, saya akan terima. Jika mereka fikir ada orang lain yang lebih baik untuk tugas itu, saya juga terima seadanya.
“Maka kita lihatlah nanti, Saya tidak akan melobi,” ujar beliau.
Fuziah ditemui media semasa majlis Jamuan Kesyukuran Rakyat Parlimen Kuantan petang Ahad.
Ahli Parlimen Kuantan ini yang dikenali dengan memperjuangkan beberapa isu-isu perhatian umum berkait alam sekitar seperti Lynas dan pencemaran bauksit, berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuantan bagi tiga penggal berturut-turut menewaskan Datuk Wong Kean Hwee dari Barisan Nasional dan Sulaiman Md Derus dari Pas dengan majoriti 8,111 undi.