Forum PRU15: Tempoh Perdana Menteri perlu dihadkan, elak jadi Maharaja atau Presiden
Firdaus Azil
Julai 6, 2022 12:25 MYT
Julai 6, 2022 12:25 MYT
PETALING JAYA: Tempoh masa Perdana Menteri perlu dihadkan bagi mengelakkan individu tersebut bertindak seperti seorang ‘maharaja’, kata Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi.
Sewaktu menjadi panelis dalam forum Gearing Up for GE15 anjuran Majlis Peguam dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini, beliau berkata, ketika ini Perdana Menteri seolah-olah mengatasi segalanya, termasuk cabang demokrasi yang lain termasuk Badan Legislatif.
Dengan mengehadkan tempoh tersebut kepada 10 tahun atau dua penggal, Shu Qi berkata, ia akan mendorong Perdana Menteri untuk tidak bertindak dengan tujuan memperluaskan lagi kuasanya dalam politik.
“Kita sedang menggunapakai sistem Westminster dan selepas formasi Malaysia, Perdana Menteri menjadi sangat berkuasa.
“Hari ini kita melihat semua orang mahu menjadi Perdana Menteri kerana jawatan tersebut mempunyai kuasa yang luas dalam institusi politik sehingga beliau boleh menentukan apa sahaja.
“Perubahan perlu dilakukan supaya individu yang menjadi Perdana Menteri sedar beliau tidak ada peluang untuk meluaskan kuasa,” katanya lagi.
Forum yang dikendalikan Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman itu turut disertai Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Sementara, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang turut disenaraikan sebagai ahli panel tidak hadir.
Dalam pada itu, Shu Qi berkata, selain had tempoh Perdana Menteri, perubahan juga perlu dilakukan terhadap Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang pada pandangan beliau merupakan institusi yang sangat berkuasa.
“Saya berasa amat malu memikirkan bagaimana struktur Parlimen hanyalah satu jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri sedangkan ia perlu berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan cabang yang lain seperti Eksekutif dan Kehakiman,” katanya lagi.
Menyokong hujah tersebut, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat berkata, Speaker Dewan Rakyat sebagai contoh perlu memohon peruntukan dari Menteri Kewangan untuk membuat sebarang program atau kelulusan untuk lawatan berkaitan Parlimen.
Situasi seperti itu, katanya lagi, menunjukkan seolah-olah Speaker Parlimen terletak di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan.
“Speaker dan Ketua Hakim sepatutnya sama tinggi dengan ketua cabang yang lain (termasuk Perdana Menteri), tetapi untuk seorang Speaker diletakkan di bawah Menteri Kewangan adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
“Jadi, ia adalah sesuatu yang penting untuk kita lihat kembali, sejauh mana kemajuan dan pergerakan kita (dalam agenda reformasi). Adakah kita sedang berada di laluan yang betul? Adakah kita mempunyai pemahaman sebagai masyarakat?” soal Fahmi lagi.
Dalam masa sama, Fahmi berkata, penggal Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan had tempoh Perdana Menteri paling sesuai dibentangkan pada penggal kedua Parlimen, kerana penggal pertama untuk perasmian Dewan, sesi kedua biasanya untuk melepaskan RUU yang belum diluluskan dan urusan kerajaan, manakala penggal ketiga biasanya berkaitan Belanjawan.
“Jadi penggal kedua adalah tempoh masa yang kita lihat sekarang, yang mana kebanyakan RUU boleh dibentang dan dibahas dan diluluskan. Persoalannya, RUU mana yang akan dibentang dahulu ialah prerogatif Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis dan kebiasaannya urusan kerajaan yang akan diutamakan,” tegas Fahmi.