Formula BN-PH terbaik menghadapi PRN Sabah - BN Sabah

Astro Awani
Julai 19, 2024 10:20 MYT
Bung Moktar berkata rakyat di negeri Sabah menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan mengambil peduli terhadap mereka. - Foto fail/BERNAMA
SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Sabah percaya bahawa formula gandingannya bersama Pakatan Harapan (PH) merupakan yang terbaik untuk menghadapi PRN Sabah ke-17.
Ia juga dijangka akan mengenepikan sentimen anti-Malaya dan anti-persekutuan yang sering menjadi senjata pihak lawan.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia sejajar dengan persefahaman yang amat baik dan kukuh di antara Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahin dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Rakyat di negeri Sabah menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peduli terhadap mereka.
"Ini dizahirkan melalui Belanjawan 2024, di mana Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion pada tahun sebelumnya.
"Selain itu, Kerajaan Persekutuan, atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), turut menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak," tambahnya lagi.
Menurutnya, ini jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk melihat pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah dengan pelbagai inisiatif, antaranya Pelan Transformasi SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) dan pelaksanaan penjanaan tenaga solar hibrid.
Sejajar dengan semangat perpaduan atas komitmen yang ditinjukkan, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), juga hadir sebagai tetamu khas dan menyampaikan amanat di Himpunan BN Negeri Sabah (HBNNS) pada 21 Julai 2024.
Kehadiran Pengerusi PH pada HBNNS membuktikan hubungan yang erat di antara kedua-dua parti, khususnya sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
#Bung Moktar Radin #Anwar Ibrahim #PRN Sabah #formula gandingan
;