Fatwa politik haram beri undi kepada saya tidak wajar, permain hukuman agama - Suhaizan
Bernama
September 3, 2023 22:15 MYT
September 3, 2023 22:15 MYT
JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan Suhaizan Kaiat menyifatkan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan 'fatwa' bahawa haram memberikan undi kepada beliau sebagai seolah-olah mempermainkan hukum agama demi kepentingan politik.
Beliau berkata tindakan itu adalah tidak wajar dan sebagai ahli politik yang berpengalaman, Muhyiddin tidak seharusnya menggunakan hukum halal haram terhadap seterunya.
"Kita tidak boleh sewenang-sewenangnya menghukum ini (haram) untuk seteru politik sebab ia ada kesan tidak baik, saya khuatir nanti semua orang boleh menghukum dengan sewenang-sewenangnya.
"Dalam politik, kita berbeza tidak apa, tak ada masalah. Tidak mahu mengundi tak ada masalah tapi jangan gunakan hukum untuk lawan seteru kita, " katanya pada sidang media media selepas sesi bertemu pemimpin Cina di Pejabat MCA Pulai hari ini yang turut dihadiri Presiden parti itu Datuk Wee Ka Siong.
Suhaizan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pagoh itu semasa Ceramah Perdana di Dataran Utama Kempas di sini malam semalam bahawa "haram memberikan undi kepada Suhaizan."
Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan hari mengundi pada 9 Sept ini.
-- BERNAMA