"Farhash tidak matang sifatkan Amanah tidak kenang budi Anwar" - Faiz Fadzil

Irwan Muhammad Zain
Jun 18, 2020 14:13 MYT
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu menegaskan, pimpinan Amanah sentiasa menyokong Anwar sejak masih dalam Pas. - Gambar fail
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang menganggap Amanah tidak mengenang budi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak matang.
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu menegaskan, pimpinan Amanah sentiasa menyokong Anwar sejak masih dalam Pas.
"Tidak pernah Amanah melupakan jasa Anwar Ibrahim. Malahan, Amanah adalah parti yang dipimpin oleh bekas pemimpin Pas yang bersama Almarhum Fadzil Noor (bekas Presiden Pas) membela Anwar Ibrahim dan mengangkat perjuangan reformasi.
"Malahan penubuhan parti PKN adalah idea dan usaha almarhum Fadzil Noor. Sejak itu, pemimpin Pas dan kini memimpin Amanah yang terus menerus menyokong Anwar Ibrahim sehingga menimbulkan fitnah di dalam Pas dan akhirnya terpelanting daripada Pas.
"Ahli Parlimen Amanah jugalah yang bersama PH mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8 ketika mengadap Yang Dipertua Agong pada 26 Februari lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Namun, Faiz menegaskan, situasi sekarang berbeza kerana keputusan untuk mengambil semula pentadbiran di Putrajaya adalah penting untuk tadbir urus baik dikembalikan, agenda pemulihan ekonomi diteruskan, perjuangan membela rakyat dipertahankan dan prinsip integriti dan keadilan ditegakkan.
Hujah Faiz, bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) membentuk semula kerajaan, calon perdana menteri perlu menunjukkan kemampuan mendapat sokongan lebih ramai Ahli Parlimen yang bukan daripada PH kerana jumlah Ahli Parlimen PH hanya sekitar 92 orang dan tidak cukup untuk membentuk kerajaan mengikut kehendak Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.
"Jadi, di sini timbul cadangan supaya Tun Mahathir dicalonkan sebagai PM dan Anwar Ibrahim sebagai TPM kerana dikatakan sokongan kepada Tun Mahathir melebihi jumlah 112 jika PH memberikan sokongan kukuh," katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan, menyokong Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak bermakna Amanah melupakan Anwar.
Katanya, mencadangkan Anwar sebagai timbalan perdana menteri adalah langkah terbaik untuk presiden PKR itu mengumpul lebih banyak sokongan Ahli Parlimen dan meraih kembali kepercayaan rakyat kepada PH.
Menurut Faiz, mencalonkan Anwar sebagai timbalan perdana menteri akan membuka laluan kepada Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri dengan lebih mudah dan licin.
"PH perlu segera putuskan siapa calon PM ke-9. Keputusan calon PM ini penting supaya PH dan ahli tahu arahtuju PH dalam usaha mendapat kembali kerajaan persekutuan.
"Keputusan ini perlu dibuat secara bersama kerana kekuatan yang ada pada PH adalah kemampuan membuat keputusan bersama secara konsensus dan kesepaduan ini perlu diteruskan," katanya.
Sebelum ini, Farhash Wafa dalam satu kenyataan membidas Amanah dan DAP yang dianggapnya tidak mengenang budi Anwar kerana mencalonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri.
BACA: Pengorbanan Anwar Ibrahim perlu dihargai - PKR Perak
#Amanah #Anwar Ibrahim #DAP #Fadzil Noor #Faiz Fadzil #Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Mohamad Sabu #Parti Amanah Negara #Parti Keadilan Rakyat #PKR
;