Fahmi Zainol tekad raih sokongan orang muda jika dipilih mengetuai AMK
Astro Awani
Mei 10, 2022 22:16 MYT
Mei 10, 2022 22:16 MYT
KUALA LUMPUR: Meraih sokongan orang muda merupakan antara usaha yang akan dilakukan sekiranya dipilih sebagai ketua sayap pemuda PKR, kata calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Zainol.
Selain itu, Fahmi juga berhasrat untuk meningkatkan partisipasi golongan muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dan memantapkan sayap PKR.
Salam satu teras yang saya tawarkan sekiranya dipilih sebagai Ketua AMK adalah memantapkan, memperkasakan organisasi AMK itu sendiri.
"Saya akan buat proses pengkaderasisasi, menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengkalan di selatan, Selangor di tengah dan Pulau Pinang di utara.
"Melatih kawan-kawan AMK nilai-nilai reformasi dan kita mahu melihat ekonomi AMK iaitu bagaimana zaman kami ini menjadi pencetus ekonomi untuk menjana dana pergerakan AMK.
"Selain itu kita lihat bagaimana Ayuh Malaysia yang digerakkan itu akan dapat menjadikan AMK sebagai platform menarik sokongan golongan muda khususnya golongan undi 18," katanya ketika sesi debat Ketua AMK yang disiarkan di Astro AWANI.
Menyentuh usaha yang akan digerakkan sekirang terpilih mengetuai AMK, Fahmi menjelaskan beliau akan berusaha untuk memenangi hati rakyat terutama golongan muda.
Katanya, PKR perlu menyakinkan rakyat yang sedang menghadapi kelesuan politik untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Fahmi berkata, untuk mencapai hasrat tersebut PKR memerlukan strategi yang boleh menarik sokongan orang muda yang dilihat bosan dengan kerenah orang politik.
"Menuju PRU15, kelesuan dalam politik khususnya anak muda semakin besar dan kerana itu, kita perlu mengenepikan sentimen orang-orang muda dan orang luar yang menganggap orang politik ini tidak boleh pakai.
"Disebabkan itu kami pasukan Ayuh Anak Muda, kita bergerak sejajar dengan kempen salah seorang calon timbalan presiden menerusi platform Ayuh Malaysia.
"Kita menawarkan lima teras yang mana antara usahanya ialah kita berusaha untuk bekerjasama dengan lebih ramai sukarelawan untuk berada dalam kempen perubahan ini," katanya lagi.
Fahmi ‘melakar’ nama sejak menuntut di Universiti Malaya (UM), mula menjadi perhatian pada 2014 apabila menentang larangan pentadbir terhadap penganjuran satu majlis ceramah bersama Anwar di universiti itu.
Susulan itu, dia dan tujuh rakannya yang terlibat digantung pengajian, lantas mencetuskan Gerakan ‘Occupy UM’ sebagai langkah mendesak universiti untuk menarik semula hukuman yang dijatuhkan kepada mereka.
Fahmi menyertai PKR pada 2015 dan dilantik menjadi Pengerusi Biro Pelajar parti itu, sebelum diberi tanggungjawab untuk memimpin pemuda PKR di Pulau Pinang hingga hari ini.