Fahmi masih belajar ketika Surendran sudah berjuang di jalanan - Hassan
Sinar Harian
Februari 11, 2024 13:17 MYT
Februari 11, 2024 13:17 MYT
PASIR GUDANG: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak harus melupakan jasa dan sumbangan bekas Naib Presiden PKR, N Surendran yang berjuang sejak parti itu ditubuhkan pada 1999 bermula sebagai pembangkang sehingga berjaya menjadi kerajaan Pusat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Surendran pernah bersama-sama mengharungi susah payah perjuangan PKR di peringkat awal termasuk turun di jalanan dalam menuntut keadilan semasa dilambung gelombang reformasi.
"Kita ada pepatah 'jangan kacang lupakan kulit'. Apabila kita sudah lepas jambatan jangan tongkat dibuang. Sebelum ada generasi baharu (dalam kepimpinan PKR) Surendran sudah ada di jalan raya untuk (perjuangan) reformasi.
"Generasi baru macam (Ketua Penerangan PKR) Fahmi (Fadzil) masih di universiti (tapi masa itu) kita dah kena tangkap, kena pergi ke mahkamah," katanya kepada pemberita dalam Majlis menamakan bayi di Taman Impian Heigh di sini pada Ahad.
Pada Jumaat, Fahmi yang juga Pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi mengingatkan Surendran yang mengumumkan keluar parti sehari sebelum itu untuk mengamal disiplin dalam parti ketika menyuarakan pandangan.
Ini berikutan Surendran mengkritik sikap pemimpin PH yang berdiam diri mengenai siasatan hasutan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.
Tony Pua disiasat berhubung catatan di Facebook yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menghormati keputusan itu namun mendakwa Surendran tidak dicalonkan dan sudah tidak aktif sejak Pilihan Raya Umum ke-14, maka mungkin bekas pemimpin tertinggi PKR itu merasakan sesuai untuk berjuang menggunakan 'platform' lain.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, adalah tidak wajar untuk terus mengkritik keputusan Surendran itu sebaliknya menghargainya termasuk pernah menjadi peguam kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana katanya, sepanjang Surendran berada dalam parti tidak pernah menimbulkan masalah dan sikapnya yang berdiam diri bukan bermaksud tidak aktif.
"Diam itu bukan bermakna dia tidak aktif, dia aktif, cuma bagi peluang kepada orang lain. Dia pemimpin yang bagus dan intelektual. Bagilah sedikit ucapan terima kasih atas jasa-jasanya. Kena ingat orang-orang lama (dalam PKR) yang dah berjuang.
"Masa itu PKR tidak menjadi kerajaan, duduk di jalan raya. Surendran dan (bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh) R Sivarasa juga adalah orang yang berulang alik jumpa Anwar semasa Anwar dalam penjara," ujar bekas Pengerusi PKR Johor itu.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian