Fahami matlamat lawatan PM ke Arab Saudi - Mohd Sany
Astro Awani
Mac 26, 2023 16:24 MYT
Mac 26, 2023 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan membidas sikap penyokong dan pemimpin pembangkang yang menganggap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi hanya akan berjaya sekiranya dapat memasuki Kaabah.
Terdapat dua matlamat yang rakyat harapkan ketika pemimpin negara mengadakan lawatan ke luar negara iaitu pelaburan dan membina hubungan baik.
Perkara tersebut digariskan oleh Mohd Sany sebagai membalas cemuhan penyokong dan pemimpin pembangkang dalam lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini.
Menurut Mohd Sany, melalui pelaburan yang berjaya dibawa masuk, negara boleh mendapat lebih banyak peluang pekerjaan.
Jelas beliau, dalam lawatan rasmi perdana menteri ke Arab Saudi baru-baru ini, matlamat tersebut dapat dicapai berdasarkan pertemuan yang berlangsung ketika itu.
"Perkara kedua yang diinginkan oleh negara dan rakyat jika pemimpin mengadakan lawatan di luar negara ialah berjaya membina hubungan baik dengan negara yang dilawati.
"Terbukti Anwar menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan rombongannya di Mekah," katanya.
Dalam pertemuan tersebut kata Mohd Sany pelbagai isu dibincangkan termasuk mengenai kemelut di Palestin, situasi di Afghanistan, isu Islamofobia dan proses rundingan damai di selatan Thai serta Filipina.
"Justeru apa yang rakyat dan negara dapat kalau perdana menteri dibawa masuk Kaabah seperti dikehendaki oleh Wan Fayhsal?" katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurut Mohd Sany ekoran tidak dapat menemui pemimpin utama Arab Saudi, Anwar sendiri sudah menyatakan rasa sedihnya apabila terpaksa pulang semula ke Malaysia mengikut jadual kerana terikat dengan majlis lain.
"Maka sepatutnya yang berdukacita bukan negara, rakyat atau pembangkang tetapi Anwar sendiri.
"Tugas untuk negara, rakyat dan termasuk pembangkang sudah berjaya diselesaikan oleh Perdana Menteri melalui kunjungan tersebut dengan terbaik sekali," katanya.
#Perdana Menteri
#Anwar Ibrahim
#Mohd Sany Hamzan
#Hulu Langat
#Pakatan Harapan
#PH
#Parti Amanah Negara
#Arab Saudi
#lawatan rasmi