Fadillah sifatkan Kabinet baharu barisan terbaik

Bernama
Mei 14, 2016 17:16 MYT
FADILLAH: Pelantikan tiga timbalan Ketua Menteri Sarawak amat kena pada masanya dan diyakini mampu memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri. -Gambar fail
Kabinet baharu Sarawak yang diumumkan semalam adalah 'barisan pilihan terbaik' untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri di bawah Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, kata pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pelantikan tiga timbalan Ketua Menteri Sarawak amat kena pada masanya dan diyakini mampu memantapkan lagi pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan akujanji Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11).
"Gandingan Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang amat berpengalaman di peringkat kerajaan pusat serta Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri Dr James Masing yang berpengalaman luas di peringkat negeri juga merupakan kombinasi terbaik.
"Ini bagi membantu YAB Ketua Menteri dalam melaksanakan dasar-dasar baharunya yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat," kata Fadillah dalam satu kenyataan di sini hari ini.
"Kabinet baharu juga menyaksikan Tan Sri Adenan Satem berpegang kepada janjinya kepada masyarat Cina yang majoritinya telah kembali menyokong BN," kata Menteri Kerja Raya itu.
Ini dilihat pada pelantikan Datuk Prof Dr Sim Kui Hian sebagai Menteri Kerajaan Tempatan selain mengekalkan Datuk Dr Seri Wong Soon Koh sebagai Menteri Kewangan Kedua.
#Abang Johari Tun Openg #Adenan Satem #Douglas Uggah Embas #Fadillah Yusof #Kabinet baharu Sarawak
;