Fadillah harap BN menang tanpa bertanding di Tanjung Datu
Bernama
Januari 31, 2017 22:39 MYT
Januari 31, 2017 22:39 MYT
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berharap Barisan Nasional (BN) akan menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu pada 18 Feb ini.
Sekalipun begitu, beliau berkata PBB tetap bersedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya parti sekiranya ada pertandingan.
"Sebagai mengenang jasa bekas ketua menteri kita Allahyarham Tan Sri Adenan Satem saya minta supaya kerusi itu (Tanjung Datu) diberi kepada BN tanpa ada pertandingan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya sebelum itu meninjau pembinaan persimpangan bertingkat di Bulatan Datuk Temenggong Abang Kapali Abang Akip di Petra Jaya di sini.
Mengulas lanjut, Fadillah turut berterima kasih kepada Parti Keadilan Rakyat Sarawak yang memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil itu nanti.
Ketua Menteri merangkap pemangku Pengerusi BN Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan nama calon BN bagi pilihan raya kecil itu di ibu pejabat PBB esok.
Pilihan raya kecil Tanjung Datu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Tan Sri Adenan Satem pada 11 Jan lalu akibat komplikasi jantung.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon, pengundian awal pada 14 Feb dan hari pengundian pada 18 Feb.
--BERNAMA